8 Mei 2010.Sabtu
Bismillah..
Sabtu pagi.
Hari ini, pagi-pagi lagi sudah membuat kesilapan yang besar. Sepatutnya, dari semalam lagi beritahu Pak Cik Aris tentang agenda untuk berjumpa dengan Ketua Kampung Sungai Raya untuk mendapatkan tanda tangan pengesahan pada dokumen-dokumen yang bukan sedikit ini. See, kerana kecuaian yang sekelumit telah membawa kesusahan kepada ramai orang. Arghhh… Kalau aku seorang yang susah, tak kisah lagi. Ini ramai pula yang terpaksa terlibat dalam episod yang menyusahkan ini.~
Hurmmm…..
Kerana kecuaian ketelatan memberitahu agenda pagi ini kepada Pak Cik Aris, segala urusan menjadi lambat. Sepatutnya pagi ini agenda utamanya adalah untuk berjumpa dengan Ketua Kampung Sungai Raya. Pak Cik Aris kata, kalau beritahu awal-awal semalam, mungkin subuh-subuh lagi boleh jumpa Pak Cik KK tu. Tapi, disebabkan (menurut Pak Cik Aris) Pak Cik KK tu ada function pulak pagi ini, makanya terpaksalah ditangguhkan ke tengah hari – tunggu function mereka selesai. Adessss~ it’s ok, selagi dapat disiapkan hari ini, aku sanggup saja tunggu sampai tengah hari.
-Maaf Pak Cik Aris, semalam Amal betul-betul tak terfikir lagi nak buat begitu. Terlalu letih sampai tak terlintas akal cerdik.~
Makanya pagi ini, cuma berjumpa dengan Ustaz Sofee untuk menghantar sebahagian dokumen yang sudah disahkan. Sebahagian lagi – salinan passport dan beberapa salinan kad pengenalan – terpaksa minta tolong dengan Faizin untuk tolong sampaikan pada Ustaz Sofee Isnin nanti.
Jam 11 pagi. Hari ini, aku betul-betul mengerah tenaga tua Pak Cik Aris. Pak Cik Arislah satu-satunya harapan aku buat masa ini. Kalau ikutkan rasa segan ini, memang sangat segan dah nak minta tolong dengan Pak Cik Aris. Tapi, Pak Cik Aris berkali-kali sedapkan hati ini, dia tak kisah tolong, asalkan semua urusan Ina selesai hari ini [Pak Cik Aris panggil aku – Ina]. Sejak mula mengenali Pak Cik Aris sewaktu menuntut di semester dua, hinggalah sudah tamat pengajian, budi Pak Cik Aris tak terhitung. Bukan kepada aku seorang, malah pada sesiapa sahaja yang bergelar pelajar Uniti. Semua Pak Cik Aris layan macam anak sendiri.
Dia tiada pertalian darah denganku, tapi dia sangat baik.
Tak pernah berkira dengan kami yang dianggap macam anak sendiri.
Tengah hari yang agak terik itu, Pak Cik Aris menemani aku berjumpa dengan Pak Cik KK. Function tak selesai lagi. Aku dan Pak Cik Aris menanti di hadapan balai raya Kampung Sungai Raya menanti majlis tersebut selesai.
Hampir pukul 1 petang barulah majlis tersebut beransur selesai. Itupun, kena tunggu Pak Cik KK selesai bersantap di meja makan. Dan terlihat di suatu sudut, Pak Cik Aris tengah bersantap sekali. Kasihan, Pak Cik Aris. Sudah tentu dia lapar amat, tambah-tambah lagi cuaca tengah hari yang panas terik.
Akhirnya, setelah menanti beberapa lama, dapat juga berjumpa dengan Pak Cik KK tu. Hanya untuk mendapatkan satu tandatangan sahaja, terpaksa berpanas di bawah matahari terik. Alhamdulillah, lega sikit rasanya. Tambahan pula, menerima layanan yang cukup baik dari Pak Cik KK dan orang-orang Kampung Sungai Raya yang hadir di majlis ini.
Lewat Zohor itu sekali lagi Pak Cik Aris menawarkan diri untuk menghantar aku terus ke Melaka Sentral. Mulanya teragak-agak sebab dalam perancanganku, nak minta tolong Pak Cik Aris hantar setakat Masjid Tanah saja. Dari Masjid Tanah, macam biasa naik bas ke Melaka Sentral. Bukan apa, nak save budget lagi. Duit tinggal sejemput sangat-sangat.
Pak Cik Aris macam tahu-tahu saja apa yang sedang aku fikirkan waktu itu. Dia kata, ada seorang junior yang akan pergi ke Melaka Sentral petang itu juga. So, aku tak perlu risau tentang tambang ok. ^_^
Petang itu, selepas makan tengah hari buat kali terakhir bersama adik-adik Uniti, Pak Cik Aris buat kesekian kalinya menghantar aku ke Melaka Sentral. Seperti yang dijanjikan bersama seorang adik junior Uniti. Terasa penat yang amat sehinggakan, sepanjang perjalanan aku tak sedar apa-apa – tertidur dengan sangat nyenyaknya – sehinggalah Kancil Pak Cik Aris berhenti di sebuah gerai tepi jalan. Beli sedikit keropok lekor dan air minuman. Dan kembali menyambung perjalanan yang berbaki ke Melaka Sentral.
Aku pun tak sedar, di mana silapnya. Sesampai saja di Melaka Sentral tengah hari itu, kononnya nak call Pak Mat atau Pak Padil, cuma nak memaklumkan mereka tentang keadaanku. Seluk punya seluk di beg sandang, rasa macam tiada. Seluk lagi.
Erkkk…
Takkan dua-dua handset tak ada?
Sabar.
Jangan gabra.
Bawa bertenang.
Serasa macam nak tumbang ke lantai Melaka Sentral.
Berjalan menuju ke surau dan bercadang untuk menyelongkar isi beg. Ingat-ingat semula. Mana pula menghilangnya handset yang – rasa-rasanya – dah taruk kemas-kemas dalam beg sandang ni? Nak kata bubuh dalam poket, t-shirt labuh ni mana ada poket.
Finally.
Memang tak ada. Ya Allah, hampir-hampir mati akal aku dibuatnya. Mungkinkah tertinggal semasa di dalam Kancil Pak Cik Aris?
Nak call Pak Cik Aris guna public phone?
Tapi nombornya tak ingat pula…
Yang aku ingat cuma nombor Kak Tini! Kak Tini pula jauh di Sabah… Takpe.. At least try to call Kak Tini first and then minta nombor Pak Cik Aris – in case kalau Kak Tini masih simpan. Alhamdulillah, Kak Tini masih lagi menyimpan nombor Pak Cik Aris. Selesai satu ujian.
Then, second step – call Pak Cik Aris sebelum Kancilnya pergi jauh. Hopefully tak pergi jauh lagi. Hopefullyy….
Call Pak Cik Aris dan yang kedengaran hanya bunyi engaged…
Bingung.
Call lagi. Dan engaged. Lagi, lagi dan lagi. Tetap engaged. Pak Cik Arissss….. Handset Pak Cik Aris dah habis bateri kot?
Ya Allah… Tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan aku sekarang.
Ok, now, try to call my handset. Dengan harapan terasa vibrate atau paling kurang pun terdengar bunyi dari beg sandang yang sah-sah memang tak ada setelah diperiksa tadi. Satu, nombor Maxis and the other one, Celcom. Dua-dua bunyi tapi tiada jawapan. But then, engaged juga. Memang seingat tadi, kedua-duanya sudah low-batt.
Handsetku…
Ke mana kamu berdua tercicir?
Serasa bagai hilang separuh nyawa setelah kehilangan 2 handset sekaligus. Biarlah tak mahal mana dan tak canggih mana, tapi sayang sangat dengan handset Nokia biru 1100 – handset second hand pemberian abah dan handset Nokia hitam 6080 – handset first hand – beli sendiri guna duit sendiri sebagai hadiah sendiri bila pertama kali dapat PNGS 3.91 & PNGK 3.74 semester dua di UNITI.
Sedihnya…
Nasib baik Pak Cik Drebar Bas Orkid itu tegur aku yang sedang mengelamun dan ajak berbual dengannya sementara menanti waktu bas bertolak ke Batu Pahat. Kalau tidak, memang mengelamun saja mengenang nasib diri yang sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula.
Sepanjang perjalanan di dalam Bas Orkid, aku memang dah tak dapat nak tidur walaupun badan penat amat. Takut pula bas ini terlajak jauh dari simpang kampung.
Setibanya di simpang kampung, hari sudah mula remang-remang senja. Pukul berapa? Jangan tanya! Selama ini, jam aku pada handset berdua itu lah…
Anggaran dalam pukul 5-6 petang. Sepi. Aku meneruskan perjalanan dari simpang kampung yang jaraknya ke rumah embah mungkin dalam 15 minit berjalan kaki. Seram juga berjalan kaki seorang diri kala petang kian merangkak senja. Dalam hati, tak putus-putus berdoa supaya Pak Chop, Pak Padil atau Pak Mat melewati jalan ini. Paling tidak pun biarlah ada satu dua kenderaan lalu agar jalan ini tidak sunyi.
Berjalan dan berjalan melewati padang ragut. Penat usah dikira. Tersangat penat. Tak pernah berjalan kaki dari simpang kampung ke rumah embah.
Allah, bala apakah ini?
Tiba-tiba terasa diperhatikan.
Ku toleh ke kiri.
Memang benar ada dua lembaga sedang memerhatikanku dengan tajam sekali. Dua ekor lembu yang sedang ditambat pada sebatang kayu yang terpacak di atas tanah dengan jarak anggaran kurang dari 10 meter. Memerhatikan aku?
Aku belek diri.
Aku pandang mereka berdua.
![]() |
lembu. kita sama warna. tapi kita bukan serupa. |
Langkah diatur dengan pantas. Tak berani lagi bertentang mata dengan ‘si dia’. Terimaginasi di layar minda andai kata encik lembu naik minyak dan tali tambatannya terputus… Na’uzu billahi min dzalik. Berserah sepenuhnya kepada Allah. Jangan main kejar-kejar ya lembu… Patik cuma nak tumpang lalu. Patik dah tak kuat nak lari ni…
Alhamdulillah…
Semakin menjauhi encik lembu dan ‘isterinya’ kot… Toleh belakang sikit… Padang ragut semakin sayup ditinggalkan di belakang. Dan yang paling penting, kelibat encik lembu suami isteri sudah tiada lagi.
Tapi…
Kawasan yang sedang dilalui ini tak kurang menakutkan juga…
Kiri dan kanan kebun kelapa sawit. Semakin suram dan kelam. Bayangan yang menyeramkan juga kerapkali muncul. Teringat saja cerita Pak Padil (yang Pak Padil minta rahsiakan dari embah) tentang kisah accident melanggar babi hutan. Kat black area macam nilah…
Tuhanku…
Tak putus-putus zikir membasahi lidah. Ya Allah, andai kata selama ini aku lalai mengungatiMu, ampunilah aku ya Allah. Janganlah Engkau menimpa bala ke atasku di atas kelalaianku mengingatiMu.
Nun tak berapa jauh di hadapan sana, sudah kedengaran enjin dari bengkel Pak Cik Wahid. Alhamdulillah, ada juga kereta dari arah hadapan melalui jalan ini. Sekurang-kurangnya tak adalah rasa seriau sangat.
Alhamdulillah, rasa lega akhirnya apabila kaki yang lututnya bagaikan hampir tercabut dari sendi apabila semakin menghampiri kawasan surau Kampung Parit Sempadan yang di belakangnya – apa lagi – kalau bukan teratak embahku sayang.
Sunyi. Pintu gelangsar tertutup rapat. Begitulah selalunya jika embah berseorangan di rumah. Yakin, embah pastinya sendirian. Motor Pak Padil mahupun Pak Chop tiada kelihatan di sekitar laman rumah ini melainkan jika mereka memarkirkannya di belakang rumah.
Bagi salam sekali. Dua kali. Tiga kali, baru terlihat tangan tua embah menyelak langsir dan membuka selak pintu gelangsar.
Salam embah. Embah hairan, lalu bertanya siapa yang hantar? Aku menjawab, jalan kaki je… Lagilah embah naik hairan lalu bertanya lagi, kenapa tak telefon je handphone Pak Padil?
Maka, dengan tak dapat ditahan-tahan lagi, aku menyembam muka ke riba embah. Melepaskan segala lelah. Nangis teresak-esak sambil menceritakan dari awal sampai akhir alkisah malangku. Embah tekun mendengar. Sesekali usap-usap kepalaku yang masih dibaluti tudung labuh hitam.
Akhir alkisah malang seorang gadis yang cuai hari ini. Sendu masih bersisa lagi. Dan langit jingga senja itu menjadi saksinya.