6 Mei 2010.Khamis
Hari ini rutin berjalan macam biasa. Dan selepas waktu Isyak, Pak Padil seperti biasa akan keluar. Tak tahulah pergi ke mana. Yang pasti, setiap kali Pak Padil keluar dan embah bertanyakan di mana Pak Padil, dan aku menjawab Pak Padil keluar, sudah pasti telinga ini yang akan menjadi sasaran untuk mendengar segala bebelan embah. Siapa lagi nak dengar kalau bukan the only girl in this house – Nuna – kan, kan?
Dan malam ini aku dapat merasakan keseraman yang lain macam. Kenapa ya? Sebelum ini, bukannya tak biasa ditinggalkan Pak Padil selepas waktu Isyak dan selagi belum melepasi jam 12 tengah malam, selagi embun jantan tak menitis, selagi itulah Pak Padil takkan pulang.
Pak Padil…
Nuna takut ni.
Tapi buat-buat berani!
Jam baru sahaja menunjukkan pukul 9.30 malam. Tapi waktu ini sudah sunyi amat. Cuma kedengaran suara DJ Radio IKIM saja yang ke udara. Macam biasa juga, waktu ini Nuna akan jadi security guard yang akan memantau keselamatan setiap inci rumah ini – bermula dari dapur, tingkap dapur dikunci rapat, langsir ditutup rapi, pintu dapur dikunci, sehingga ke ruang depan dan bilik embah – di mana tempat-tempat spot yang senang dicerobohi – nauzubillahi min dzalik.
Jam 10 malam.
Embah dah suruh Nuna tidur. Embah nak latih Nuna jadi macam embah juga, tidur awal bangun awal. Bukan tidur lewat bangun awal. Dan sebagai cucu yang patuh lagi mendengar kata komander embah, Nuna pun segera menarik tilam getah yang selalu Nuna guna untuk tidur di sisi embah di ruang tamu itu. Suis lampu ruang tamu sudah dimatikan. Manakala suis lampu dapur, ruang hadapan dan bilik embah sengaja dibuka atas alasan keselamatan.
Baru saja Nuna nak baca surah al-Mulk, tiba-tiba kedengaran deruman enjin motosikal memasuki perkarangan rumah embah dan terus ke belakang rumah embah. Pada mulanya, Nuna cuma bersangka baik – dengan menyangkakan Pak Padil sudah balik – walaupun bunyi enjin motosikal itu agak asing di pendengaran Nuna. Nuna teruskan bacaan surah al-Mulk. Sampai habis ayat ke 28 surah al-Mulk itu, Pak Padil tetap tak masuk ke dalam rumah. Kalau tak bawa kunci, takkanlah Pak Padil tak reti-reti nak ketuk pintu?
Apa agaknya yang ‘orang’ itu buat di belakang rumah embah ni?
Takkan nak memikat ayam serama kot?
Setahu Nuna, belakang rumah ini bukan tempatnya ayam serama bersarang. Ayam kampung Pak Padil tu, adalah!
Sahlah.
Firasat Nuna memang hampir tepat.
Suspen seketika.
Kalau betul motosikal Pak Padil, bunyinya Nuna kenal sangat. Bukan bunyi yang ganas dan keras macam bunyi deruman enjin sebentar tadi. Bunyi Honda Wave Pak Padil, lembut saja…
Nuna tiba-tiba memberanikan diri. Semangat keserikandian berbekalkan ilmu tali pinggang biru yang tak sempat khatam itu tiba-tiba membuatkan Nuna bangkit dari tempat tidurnya. Sempat menoleh ke arah embah yang sudah berdengkur kecil. Perlahan-lahan Nuna jengketkan kaki melangkah ke ruang hadapan, tutup lampu ruang hadapan. Melangkah ke jendela gelangsar yang menghadap ke arah belakang rumah embah dan menyingkap di sebalik tabirnya. Gelap pekat malam tak berbulan dan bintang. Tiada apa-apa kecuali gelap. Kukuhkan lagi kunci tingkap gelangsar. Pantau lagi setiap jendela dan pintu rumah ini. Deria dengar dipertingkatkan lagi tahap kepekaannya terhadap sebarang bunyi yang boleh menimbulkan kecurigaan. Alhamdulillah, semuanya berada di dalam keadaan yang baik dan tiada tanda-tanda yang mencurigakan. Ayat Kursi tak putus-putus dibacakan di setiap langkah memantau rumah ini.
Masih berdebar lagi.
Kenapa tiada lagi kedengaran bunyi motosikal itu meninggalkan rumah embah ini?
Siapa sebenarnya pemilik motosikal itu?
Dan apa hajatnya ke mari?
Pak Padil…..
Cepatlah balik.
Nuna takut ni…
Allah, lindungi embah dan juga diriku… Lindungi maruah kami ya Allah…
Macam mana kalau… Betul-betul pencuri?
Sekaranglah baru nak ingat segala step dalam Soo Bahk Do… Hurm… Setakat brown belt. Entah-entah pencuri tu gelak kot, kalau Nuna hayun flying kick pun, dia gelak siap berguling-guling kat lantai lagi. Oh… Sedapnya berguling-guling atas lantai rumah embah. Dia tak tahu, tangan ini pernah memecahkan lima keping papan dengan sekali hayunan. Dia belum rasa lagi penangan berbisa hayunan tangan ini. Oopss.. Dah, dah. Jangan lebih-lebih. Nanti riyak…
Sunyi.
Lambatnya menanti pagi.
Suspens betul jadi security guard ni. Tak ada senapang. Tak ada cota. Yang ada cuma Allah. Allah fi qalby.
Bosan menanti. Hampir-hampir terlelap sebelum mendengar bunyi motosikal yang sangat-sangat dikenali.
Pak Padil!
Alhamdulillah. Akhirnya Pak Padil balik. Nuna tunggu juga sampailah Nampak di hadapan mata Pak Padil yang membuka pintu ruang hadapan yang berkunci dengan kunci pendua yang dibawanya.
Alhamdulillah.
Segalanya selamat.
Dapat memejamkan mata dengan aman.
Nanti dulu!
Siapa ‘makhluk bermotosikal itu’?
.:Tidur dalam tanda tanya:.
Parit Sempadan.