Khamis. Seminggu selepas insiden rajuk embah.
Hari-hari yang berlalu seperti biasa. Dan tiada satu hari pun berlalu tanpa embah menanyakan tentang mak. Tiada satu hari pun berlalu tanpa embah ceritakan tentang perihal anak-anaknya yang sepuluh, lengkap, silap-silap boleh buat autobiografi. Ajaib sungguh seorang ibu, mampu mengingat perihal 10 orang anaknya dengan detail sekali. Setiap hari juga embah akan tanya berapa hari lagi mak akan balik. Siap buat countdown lagi.
Dan malam ini, setelah solat Maghrib dan membaca Quran, saya duduk-duduk santai di sisi embah. Radio IKIM yang terpasang seharian dengan kelantangan suara sederhana sedang mengalunkan murattal Syeikh Al-Ghamidi, qari kesukaan embah.
Penat duduk setelah membaca tafsir Quran, saya berbaring dengan kepala bersetentangan dengan kepala embah. Embah yang tadinya baring membelakangi saya, kini mengalih posisi badannya menghadap saya. Embah senyum memandang saya. Saya pun senyum juga bertentang redup pandangan mata embah.
Tangan tua embah tiba-tiba mengusap-ngusap wajah saya. Perbuatannya membuatkan saya sedikit sedikit terkejut, tapi membiarkan saja. Senang bila dibelai embah.
Embah tiba-tiba berbisik dengan suara seraknya, “Nuna cantik,” sambil tangannya membelai-belai wajah saya, mengusap telinga lalu menyelitkan rambut yang terlepas urai di balik telinga.
‘Embah ni. Mana ada la. Nuna comot la embah.’
Alamak, embah ni. Ada ke patut tiba-tiba kata Nuna ni cantik. Tiba-tiba rasa tertouching. Hati ini, mudah menangis juga rupa-rupanya. Air mata serasa dah bergenang, menanti masa saja nak tumpah. Itupun sedaya upaya lagi nak tahan.
Belaian embah membuatkan saya rindu mak. Mak manalah pernah belai saya sampai macam ni sekali, sebab kalau mak belai saya macam ni, dah tentulah adik-adik saya yang kuat cemburu itu jealous pula dengan saya.
“Sayang cucu embah,” lirih suara embah menyedarkan saya dari lamunan keasyikan belaiannya. Saya sedar, air mata saya sudah mengalir bukan macam air sungai lagi, tapi macam air terjun. Embah masih lagi membelai, dan terlihat mata embah juga sudah digenangi air.
Saya pegang tangan embah yang membelai. Saya sudah tidak tahan. Bukan tak suka dibelai, tapi saya tak mahu menangis lagi. Saya alih tangan embah dari pipi saya, lalu saya kucup perlahan-lahan.
“Sayang embah juga,” bisik saya lirih.
“Sayang cucu embah.” Embah ulang lagi, membuatkan saya betul-betul tak tahan. Mata saya sudah kabur dengan air mata yang tak terbendung. Embah kesat air mata saya dengan jari jemarinya yang berkedut seribu. Jari-jemari itulah yang berjaya membesarkan 10 orang anaknya. Saya cuma mengangguk, sebak dada saya menghalang untuk saya berkata-kata.
Azan dari surau berhadapan rumah embah menandakan masuknya waktu Isyak. Saya meminta izin untuk ke dapur. Basuh muka. Rasa-rasanya wajah saya sudah basah dengan air mata. Jarang menangis sehebat begini, jika hati tidak tersentuh.
Embah, Nuna tahu embah rindukan mak. Nuna juga rindukan mak. Kita sama-sama rindukan mak. Esok mak pasti tiba, insya Allah. Sama-sama doakan agar penerbangan dari Kuching ke JB yang membawa keluarga saya tiba dengan selamatnya.
Aduhai hati. Macam manalah nak berpisah jauh dari embah. Pasti akan merindukan saat-saat jiwang bersama embah seperti tadi. Embah, Nuna pun sayang embah! Sangat-sangat!