Sabtu. Seharian hujan. Lebat benar hujannya. Alhamdulillah, hujan rahmat setelah berhari-hari langit Semerah terik dek sinaran Sang Suria.
Lewat tengah hari itu, Pak Mat dan Mak Mah singgah ke rumah embah. Seperti biasa, walau dalam kehujanan Pak Mat pasti akan ke kandang kambingnya yang terletak sepelaung di belakang rumah embah untuk menyusukan Si Jamilah dan memberi makan kambing-kambingnya yang lain.
Rupa-rupanya, Pak Mat bukan sekadar nak jenguk kambing-kambingnya sahaja, tapi Pak Mat dan Mak Mah nak mengajak Nuna pergi JB menziarahi Pak Ni sekeluarga. Ah, sudah. Kalau embah tahu Nuna ikut Pak Mat ke JB, pergi ke rumah Pak Ni pula tu, habis la Nuna. Rasa macam mengkhianati boss pula.
Macam mana ni?
Nak ikut tak?
Rasa-rasanya, hati ni dah berbolak-balik. Rasa macam nak pergi tu ada, tapi at the same time, tak sampai hati nak tinggalkan embah.
Tapi Pak Mat kata :
Tak apa, Pak Padil balik lah nanti. Pak Mat kesian tengok awak tu duduk terperap dalam rumah je. Dahlah tingkap pintu semua bertutup. Internet tak ada. Macam duduk dalam gua.
Huhu. Tak kisah je, kalau boring pun. Laptop kan ada, walaupun tak dapat akses internet. Memang rasa macam nak pergi sangat-sangat sebab dah lama tak jengah JB.
Ok, pergi juga akhirnya. Tu pun setelah mendapat keizinan dari embah. Bukan senang nak tinggalkan embah begitu saja. Malam nanti terpaksalah Pak Padil yang pakaikan pampers untuk embah.
Dalam jaulah ini, tanpa disangka-sangka Pak Mat membawa kami ke Benut, menziarahi sepupuku di sana, Kak Ani. Tapi sayang, Kak Ani tiada di rumah. Yang ada, anaknya, Kamalina dan Wak Ti. Wak Ti tinggal sementara di rumah anak sulungnya, Kak Ani, memandangkan tiada sesiapa yang boleh diharapkan menjaganya di kampung halaman di Sarawak. Di sini, sekurang-kurangnya ada Kamalina, cucu perempuan harapan yang boleh menjaga ketika Kak Ani dan Abang Taha keluar bekerja.
Kemudian, teruskan perjalanan. Singgah di rumah Mak Nah terlebih dahulu, menjemput Kak Didi. Malam itu, teruskan lagi jaulah ke rumah Pak Ni yang terletak di Taman Pasir Putih, di Pasir Gudang. Malam itu tidur di rumah Pak Ni bersama Rehan, Kak Didi dan Helmi si budak menjeng di tingkat atas rumah dua tingkat itu. Si kakak sulung, Umairah tiada bersama kerana masih di asrama.
Sepanjang berada di rumah itu, tak habis-habis dilayan oleh Helmi. Kejap-kejap, Kak Luna ni, kejap-kejap Kak Luna tu.[Helmi panggil aku Kak Luna. Macam-macamlah] Ibu dia kata, dia memang terlebih mengada-ngada dengan tetamu. Haha. Biasalah tu. Budak-budak. Amirul, kalau ada tetamu datang pun, manja dia terlebih sikit. Nak-nak yang datang tu perempuan [yang lebih kurang sebaya macam kakak-kakak dia, ok]. Kalau di rumah embah, jadi PA embah, layan embah setiap hari, kat sini rasa-rasanya macam nak lantik Helmi tu jadi PA aku je. Hehe.
Tengah hari selepas Zuhur dan makan tengah hari, barulah bergerak balik semula ke kampung. Tak boleh lama-lama, takut embah rindu Nuna. Pakej percutian satu hari yang sangat best dan awesome, walaupun cuma duduk di rumah dilayan macam puteri oleh si kecik, Helmi. Entah bila lagi dapat bertandang ke rumah Pak Ni, sambil main dengan Helmi, terasa macam jadi budak kecik semula!
glosari :
Bahasa Jawa :
menjeng - manja yang mengada-ngada
.