Sedar tak sedar, hampir seminggu juga Nuna hidup tanpa handset. Boring tu, boring jugalah, sebab masa masih ada handset dulu setiap dua hari sekali, call mak atau abah untuk melaporkan perkembangan terkini. Eheh. Achik Yati, Pak Mat, semua orang offer pinjamkan handset untuk call mak abah. Offer pinjam je lah. Bukan offer bagi terus, ok. Nak handset sendiri, tunggu mak dan abah datang. Itupun insya Allah cuti sekolah minggu hadapan mereka sampai ke mari.
Owhh, dalam tempoh beberapa hari ini, ada saja berlaku insiden yang tak disangka-sangka. Paling tak boleh dan tak dapat dilupa, insiden bergaduh dengan embah. Embah ni la… Ade ke patut merajuk dengan aku? Ngehehe. Apa jenis cucu la Nuna ni sampai buat embah merajuk.
Hari tu, embah dah merajuk dengan Pak Ni sebab dah lama tak balik. Dan pada suatu pagi yang hening, tiba-tiba Pak Ni call dari tempat kerjanya. Berlari-lari orang yang tengah buat sarapan tu dari dapur ke ruang hadapan untuk mengangkat telefon yang menjerit-jerit. Memang tak ada orang lain dah yang suka call pagi-pagi buta ni, melainkan Pak Ni. Kalau tempoh hari Pak Ni call dan berjanji nak balik hujung minggu, embah terima alasan tu dan pegang janji Pak Ni. Tapi, Pak Ni tak balik pun, alasannya : alang-alang nak balik sekejap-sekejap, baik tunggu cuti sekolah yang tak lama lagi pun. Ok, Pak Ni. Kalau bagi alasan macam tu kat Nuna yang lembut hati ni, insya Allah alasan Pak Ni diluluskan. Tapi kalau berjanji dengan embah pastu alih-alih buat alasan pula macam ni, memang lah beliau menempah bebelan embah.
Ok, panjang pula si Nuna ni membebel. Macam dah terkenan aura embah je. Mentang-mentanglah dah jadi PA embah. Pagi itu Pak Ni call nak cakap dengan embah. Maka, tanpa banyak cheritera lagi, Nuna pun bagi isyarat kat embah yang sedang beristirehat di singgahsananya. Embah kata, dia tak mau cakap ngan Pak Ni. Eleh, merajuk la tu. Dengan berat hati, tak tau nak royak apa lagi, Nuna dengan lurusnya cakaplah dengan Pak Ni yang embah dah merajuk. Tapi, Pak Ni nak juga cakap dengan embah. Aisey. Mana satu mau ikut ni.
Akhirnya dengan nekad dan bulat hati, Nuna pun menarik singgahsana embah dengan embah-embah sekali menuju ke telefon rumah. Haa.. Kan dah kena dengan Nuna pagi tu. Embah dah tak tau nak kata apa lagi, siap-siap pukul kaki PA bertuahnya ini dengan bantal busuknya. Best jugak main tarik tilam nipis embah, macam main tarik upih pinang.
Owhh.. Lega. Pagi itu berjaya menjernihkan kembali hati embah yang baru nak merajuk dengan Pak Ni. Dan Pak Ni pula, mesti pandai je ambil hati embah. Tau-tau embah asyik tergelak-gelak on the phone – nasib baik tak tergolek-golek – masa berbual dengan Pak Ni.
Haishh. Ni lah konflik dua beranak pertama yang berjaya diselesaikan Nuna.
Hari itu macam biasa, Nuna lakukan rutin biasa. Tapi kesibukan yang berganda-ganda, nak memasak lagi, kemas dapur, basuh baju, sidai baju, sediakan minuman untuk pekerja kontrak dan kami ada tetamu khas pagi itu, Mak Mud dan suaminya, Pak Cik Rosdi. Yang bestnya, Mak Mud bawa banyak makanan untuk embah, makanan kesukaan embah pula tu. Wahh, mesti embah suka. PA dia lagilah suka, sebab tak payah masak untuk tengah hari itu. Makanan dah mewah sangat-sangat.
Nak dijadikan cheritera, Nuna punya busy melayan sampai tahap kalah rumah terbuka tu, sehinggakan mengabaikan embah secara tidak sengaja. Nuna dah siap-siap bancuh teh dan sedikit kuih-muih untuk pekerja-pekerja kontrak tu, dan letak kat tempat biasa. Bancuh teh dan kuih untuk Pak Cik Rosdi dan Pak Mat. Owhh, tiba-tiba bila segalanya settle, embah suruh tukar cawan yang dah diisi dengan teh panas untuk Pak Cik Rosdi tu.
Apakah arahan ini perlu dipenuhi juga? Teh dah pun tersedia di hadapan Pak Cik Rosdi dan Pak Mat, dan Nuna rasa amatlah tak perlu untuk tukar cawan mereka kepada cawan yang embah suka. Rasa-rasanya cawan yang dipersembahkan kepada tetamu embah ini pun dah cukup bagus dan chantek apa. Maka, Nuna pun buat keputusan sendiri dalam hati supaya tak payahlah tukar. Takkan nak tukar kot, dah depan-depan tetamu penting ni. Nanti apa pula kata dia bila cawan tu ditarik balik.
Adoi lah….
Pening rasa macam putus fius sikit sebab non-stop kerja dari pagi sampai nak dekat tengah hari. Hampir Zuhur barulah Mak Mud dan Pak Cik Rosdi beransur pulang. Sekarang, masanya untuk sediakan makanan tengah hari untuk embah. Ringkas sahaja, memandangkan Mak Mud sudah membeli soto nasi impit, jadi, embah pun pesan tadi, tak payahlah masak banyak-banyak. Takut makanan tak habis. Cuma masak nasi dan goreng ikan kembung je.
Masa memasak dan mengemas dapur tu, sempat Nuna jeling-jeling embah dari dapur. Embah nampaknya mengelamun jauh sambil menggerak-gerakkan kipas tangan, tak tahulah apa yang difikirkannya. Selalunya, sebelum Zuhur embah akan qailulah. Bila masuk waktu Zuhur, barulah embah akan meminta bajunya ditukar sebelum Pak Padil mengangkat embah ke bilik air untuk berwudhu.
Azan sudah dilaungkan. Hajatnya, cuma nak berbasi-basa dengan embah, kot-kotlah embah nak tukar baju sebab rimas panas tengah hari. Tapi, embah buat tak tahu je, tak jawab pun soalan Nuna. Yang lebih buat tak tahan tu, embah siap berpaling lagi. Owhh.. terasakah aku?
Ok, kata pada hati. Aku tak terasa kecil hati pun.
Cuma, tertanya-tanya. Apa salah PA embah ni?
Tiba-tiba jadi sedih. Tak pernah-pernah embah begini. Ni mesti ada something wrong somewhere-somewhere yang aku dah buat sampai embah jadi cenggitu.
Embah merajuk ke kalau macam ni? :,( Embah ni la… Tanpa disangka-sangka pula embah merajuk dengan Nuna Khamis itu. Ok, Nuna admit, that was my fault.
Apa yang berlaku pagi tadi, walaupun nampaknya agak remeh, tapi jangan lupa. Embah sudah tua. Perangainya kembali seperti anak-anak kecil. Terlalu sensitif. Hati embah perlu ditatang bagai minyak panas yang penuh di tangan. Embah, maafkan Nuna. :-(
Dari Zuhur itu sampailah ke Maghrib, Nuna buat macam biasa, layan embah seperti biasa. Dalam erti kata lain, buat muka tak bersalah. Hiss, apa jenis cuculah Nuna ni. Betullah kan, kalau Nuna cakap banyak pun, embah tak layan. Dia tengah merajuk tu. Biarlah dia sejuk dulu.
Malam.
Berdebar-debar. Cuak tu dah tentulah. Tak pasal-pasal nanti dianugerahkan gelaran cucu derhaka sebab buat embah merajuk. Haiss, seriau pulak. Doa-doakan supaya hati embah dilunakkan. Tak pernah sekali berlaku dalam keturunan.
Masih belum surut ke rajuk embah?
Malam itu sebelum tidur, seperti biasa rutinnya, pakaikan pampers untuk embah. Melihat embah sudah mula mahu menegur ketika sedang memakaikan pampers sudah mampu membuatkan Nuna menghela nafas lega.
Phewww. Alhamdulillah.
Sebelum tidur, Nuna cium dahi embah. Embah gelak kecil. Pukul manja lagi. Sweetnye kan. Embah jangan merajuk lagi tau, kata Nuna – cuma dalam hati.
Malam, dapat tidur dengan tenang. Dalam senyum. :-) Terima kasih embah. Hari ini bertambah satu lagi ilmu informal. Belajar tentang psikologi warga emas. Belajar menyantuni hati mereka, sesantun-santunnya. Maafkan Nuna embah, kalau Nuna tak sebaik Kak Didi, Abang Acad, Abang Rudin dan cucu-cucu embah yang lain.
Muhasabah agar hari esok lebih indah.