Catatan Lavender La Nuna : Jawlah Seorang Nuna

2April2010.Jumaat

Jam 4.30 petang. Semua kelengkapan sudah siap aku packing. Tinggal lagi nak punggah ke dalam Land Cruiser abah. Mak memang seawal pagi tadi sudah sibuk. Macam-macam yang mak sibukkan – sibuk kejutkan anak-anaknya yang bertuah ni solat Subuh, sibuk siapkan sarapan, sibuk pesan barang dapur pada abah, sibuk ingatkan aku dengan dokumen-dokumen penting etc - tapi di mana tempat yang menyaksikan mak paling sibuk di mana lagi kalau bukan di dapur. Aku sebagai anak daranya yang bertuah ini, hari ini sungguh bertuah sekali kerana tak menolong mak di dapur.

~Kenapa sangat malas ni?
+Bukan sengaja malas la… Fasal packing barang yang tak sudah-sudah ni la, dan menyudahkan laundry service terakhir untuk bulan ini di rumah ini sampaikan aku tak cukup tangan nak bantu mak siapkan laksa Penang di dapur (dan juga kerana sekali-sekala curi tulang buka Facebook).

Laksa Penang? Ya, haha.. One of my favourite cuisine of course. Mak macam tahu-tahu saja, dua tiga hari lepas aku asyik belek-belek bungkusan Laksa Penang kering itu dengan muka susah hatinya. Bilalah mak nak buat Laksa Penang ni, tanyaku dengan nada perlahan lebih kepada diri sendiri dan rasa macam berbisik di dalam hati. Rupa-rupanya dalam tak sedar tu terlepas juga di mulut. Dan sebab tu la mak jawab begini, tunggu la hujung minggu karang, sambil gelakkan aku dengan muka masamku yang sengaja aku buat-buat masam. Hujung minggu?? Aku telan air liur saja. Sampainya hati. Tunggu aku dah tak ada kat rumah ni, baru nak makan sedap-sedap.
Tapi mak kan… Aku tahu, mak bukan serius cakap macam tu. Sekadar nak usik aku saja. Mana mungkin mak dengan tega-teganya membiarkan aku kempunan nak makan Laksa Penang buatan mak, selepas aku berjauhan dari mak dan air tangannya nanti. Bukan sehari dua aku pergi, tapi sebulan dua! Satu tempoh yang cukup panjang tu!! Setelah setahun air tangan mak sebati menjadi darah dagingku - setelah tamat diploma, menganggur, kerja sementara dan kemudian menganggur semula - dan nanti tanpa air tangan mak, aku bisa jadi bangkai bernyawa!!

~ Jadi bangkai bernyawa? Sungguh melampau dan mengarut ayat tu… Kau bukannya tak makan langsung nanti. Jadi benda lain boleh tak?
+ Benda lain? Apa ya? Aku rasa, kalau tak bangkai bernyawa pun, jadi zombie kut. Aku pasti jadi tak selera dengan air tangan aku sendiri nanti. Mesti tambah kering ni, tanpa melalui proses diet pun. Huhu..

Dan tengah hari itu sebelum solat Jumaat lagi, aku dengan selera makanku yang luar biasa, membantai 5 mangkuk laksa Penang. Betul-betul buruk lantak-macam kata Fiza Sa-ud, bekas housemate aku berkenaan dengan sifat makan yang gelojoh. Kalau bakal mak mentua tengok, mesti kena reject awal-awal tanpa toleransi lagi. Takkan masuk waiting list pun. Nak buat macam mana, nanti rindu dengan masakan mak. Syukurlah, badan aku jenis yang cute saja - tak cepat naik - walaupun makan bertong-tong. Tapi aku, kalu dibawa ke majlis di hotel ke, kenduri ke, aku pandailah control makan. Control anggunlah katakan… (Huh! Nuna ni la… Tak habis-habis perasan!)

~Kau memang gelojoh. Sedarlah hakikat itu.
+ Eh, taklah… Aku bukan gelojoh. Aku makan tertib-tertib apa. Baca doa lagi. Cuma bab tambah-menambah tu, tetaplah tambah…

Oh ya… Sibuk-sibuk dengan packing berbagai ni nak ke mana? Sebulan dua pula tu. Begini al-kisahnya. Adapun sepurnama yang lepas, aku dapat satu berita yang sudah tentunya amat menggembirakan hati. Kolej aku tu akhirnya terbuka hati mengadakan MoU (memorandum of understanding) dengan Universiti Yarmouk di Jordan. Wah, bukan main lagi. Bila aku dah tak ada kat kolej tu, barulah sibuk-sibuk nak buat link dengan Jordan ya. Nasib baiklah aku cepat dapat maklumat. Untuk ini, aku mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada adik sebilik aku dulu; Faizin Ismail – kerana dengan izin Allah - dia menjadi wasilah untuk aku mengetahui tentang keadaan kolej aku, selepas aku tamat diploma. Walaupun dia mungkin tak akan terbaca tulisan ini – minta-mintalah dia tak baca – Aku sangat-sangat berterima kasih kepada budak Ayer Hitam yang sering buatkan hari-hari aku ceria dengan gelak tawa sampai nak terbelit usus besar aku.
Selepas saja tahu tentang berita tu, aku yang ketika itu baru beberapa minggu selepas menghantar permohonan UPU yang aku apply buat kali ketiganya - selepas dua kali direject – dengan segera merangka pelan tindakan. Memang dari dulu lagi aku bercita-cita tinggi nak sambung belajar ke Jordan atau Universiti Al-Azhar cawangan Mansoura, dan tak sangka peluangnya kini sudah terbentang di hadapan mata. Yang aku risaukan sepurnama yang lepas, aku takut mak tak izinkan. Dulu-dulu lagi, masa kolej aku tengah buat link dengan Al-Azhar lagi, aku dah ada angan-angan nak ke Mesir. Dan kemudian, kolej ada juga buat program pertukaran pelajar ke Acheh dan Padang. Bulat-bulat mak bantah, tanpa kompromi. Abah small matter saja; nak dapat apa-apa dari abah pun, abah mesti bagi. Abah takkan tega hampakan harapan anak-anak bertuah dia ni.
Sebab tu Kak Long sayang kat abah!
Mama… Kak Long sayang kat mama juga tau. Sayang sangat-sangat!
Lalu;
Langkah pertama – Aku dapatkan seberapa banyak maklumat dari ex-collegemate aku. Mereka-mereka yang terlibat, taklah ramai.
Orang pertama yang memberitahu aku tentang perkhabaran ini; Inche Amir Muizzuddin : coursemate - yang tak pernah bertegur sapa di kolej - merangkap chatmate yang terbaik punya sebab dia bukan mat bunga dan berkarakter selamba cool saja.
Kedua; akhi Ira Amirul Razali : yang ni pun tak pernah bertegur sapa di kolej walaupun pernah sekuliah tapi saling contact untuk urusan diraja di YM.
Ketiga; Cik Faizin : informer setia tak bergaji yang memberi maklumat hampir detail tapi tak berapa lengkap.
Last sekali; Kak Izzati wa zaujuhu (Ustaz Sofee) - yang dengar-dengarnya dari Faizin - akan ke Jordan juga dengan baby Rufaidah dan Ustaz Sofee sekali. Bermula dari saat itu, aku jadi tak lekang dengan handset kerana menunggu call@SMS dari Kak Izzati.
Oopss.. Ada lagi. Tak lupa juga kepada akhi Hasibullah kerana banyak sangat bagi info tentang Jordan kepada ana.

Jazakumullahu khayran katheeran!

Langkah kedua – Mahu tak mahu, aku kena call juga Baitulmal Sarawak, Pusat Zakat Sarawak dan Yayasan Sarawak. Kenapa? Nak mohon biaya pengajian. Kalau nak harapkan duit poket mak dan abah, tentunya tak mencukupi. Dan biarlah aku korbankan kredit Maxis aku untuk sekali ini; supaya nanti bila aku beritahu mak dan abah tentang niat aku ni, mereka akan dapat lihat kesungguhan aku yang betul-betul hendak ke sana. Ehmm.. Boleh tu memang lah boleh; tapi masalahnya, kena dapatkan dulu surat tawaran di kolej dan, dan, dan, banyak lagi prosedurnya….
Langkah ketiga – Akhirnya, aku terpaksa juga beritahu pada mak. Yalah, mana mungkin nak pergi tanpa beritahu mak abah? Lagipun, tinggal dua minggu saja lagi sebelum urusan isi borang permohonan dibuat di kolej. Aku memilih untuk memberitahu mak terlebih dahulu sebab, seperti yang aku cakapkan awal-awal tadi; Abah kan… Small matter saja. Boleh runding punya. Dan pada pagi Khamis yang indah – dua minggu sebelum tarikh penerbangan ini – aku dengan nervousnya menyusun atur ayat-ayat bodek bagi melembutkan hati mak kesayangan aku tu. Dengan tak semena-mena pagi itu aku tiba-tiba jadi ringan tulang bantu mak siapkan sarapan; sedangkan sepatutnya aku sedang sibuk mendobi pakaian family aku. Dimulakan dengan bismillah dan selawat yang tak henti-henti dalam hati, aku pun mulakan dengan bertanyakan mak tentang YPJ. Tak boleh cakap direct to the Ampang Point, takut mak terkejut langsung tak dapat terima. Boleh ke aku apply; sedangkan aku tak pernah menetap dan belajar di Johor, walaupun aku anak Johor? Mak – dengan excitednya – menjawab; Cuba saja, nanti kau tanya Pak Mat. Pak Mat bukan tak kenal dengan Pengerusi YPJ tu. Alah… Kaum kerabat kita juga. Kau dah cakap dengan Pak Mat belum? Oh mak.. Itu bukan intisari utamanya. Dengan senyum simpul dan siap usap-usap bahu mak lagi, aku bersuara lunak merdu sekali; Mak… Sebenarnya kan… (slow motion) Orang dapat tawaran gi Jordan. Mak bagi tak? Mak terdiam sesaat membuatkan aku berdebar-debar macam nak tunggu anak dara berkata 'ya' bila dilamar pula. Mak pandang muka aku kemudian berkata tanpa menjawab soalan aku; Kau dah cakap dengan abah belum? Oh, maknanya? Mak bagi ke tak ni? Aku teliti muka mak. Nampak macam nak tersenyum pun ada. Suka la tu. Tapi, kalau dah mak kata macam tu, Alhamdulillah aku dah boleh bernafas lega. Sebab, abah – insya Allah gampang aja kok! Dan syukur Alhamdulillah, aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana mempermudahkan urusanku hari ini dan mudah-mudahan juga untuk hari-hari mendatang. Abah sungguh teruja bila aku ajukan perkhabaran gembira ini lantas; bagai tak sempat-sempat lagi, on the spot juga abah check jadual penerbangan Air-Asia untuk booking tiket penerbangan Kch-JB untukku.
Arakianlah kisahnya sepurnama yang lepas. Sampai ke saat ini pun, aku masih macam tak percaya – Mak memberi sepenuh keizinan dan kepercayaan kepada aku untuk further study ke Jordan. Subhanallah… Syukur Alhamdulillah, kerana hanya dengan izinNya, hati mak lembut dengan… Kata-kataku? Entahlah.. Rasanya, aku tak adalah bermain kata sangat. Walaupun jenuh juga mencipta ayat-ayat bodek, tapi sebiji pun tak terkeluar. Cuma, waktu aku nak cakap dengan mak tu, aku memang dah tawakkal habis. Kalau mak tak izinkan pun, aku redha sajalah even dengan hati yang parah. Tapi itulah, mesej yang nak disampaikan ialah – kun fa yakun - hanya dengan kehendak Allah, apa-apa yang mustahil pun boleh terjadi. Subhanallah.
Pada waktu ini, aku cari-cari si Adek, Ayu dan Abon. Nak bagi goodbye kiss untuk mereka. Sedihnya nak tinggalkan mereka selama dua bulan, setelah selama ini – sejak pencen diploma – aku yang jadi tukang sediakan makanan mereka siang malam dan juga jadi pekerja perbandaran jika berlakunya kes-kes pembuangan najis di merata tempat. Mak kedengarannya dah bising-bising di bawah; kenapa ya? Oh, rupanya Pakcik Jamali yang akan memandu Land Cruiser abah ke airport tu dah sampai. Kenapa bukan abah sendiri yang drive? Sebab, dari dulu lagi abah fobia dengan kesesakan jalanraya menuju ke Kuching. Abah sedang punggah masuk bagasi-bagasi aku. Aku pula, baru sudah mencium kucing-kucing aku buat kesekian kalinya. Dan kami pun bergegas masuk ke perut Land Cruiser kelabu itu setelah segalanya selamat – kucing-kucing sudah berada di dalam rumah dan rumah sudah selamat dimangga.
Ma'as salamah ya baiti jannati!
Perjalanan ke airport mengambil masa lebih kurang 45 minit. Sepanjang perjalanan, Alhamdulillah cuaca redup saja. Aku pun, taklah mengalami land-sickness seperti selalu apabila berjalan jauh. Pakcik Jamali pun bagus saja pemanduannay, macam abah juga : tak laju sangat dan tak perlahan sangat. Setibanya di sana, tanpa disangka-sangka olehku – tapi sudah diduga-duga oleh abah sejak awal booking tiket lagi – kami terserempak dengan sepupuku, anak sulung kakak abah; abang Majek dan dua soldadu kecilnya. Nampaknya kami se-flight! Alamak, Alabah.. Kenapa mesti dia? Abah, bila dah jumpa anak buah kesayangan dia tu; terus lupa dia dah ada anak isteri. Kami empat beranak pun bergelandangan di airport sementara menanti waktu flight aku. Abah pula asyik berborak dengan anak buah kesayangannya itu.
Oh ya. Menurut mak, abang Majek dan dua anak teruna kecilnya itu akan menziarahi ibunya, Wak Sahati sempena cuti Good Friday yang jatuhnya pada hari ini sehinggalah Isnin kelak, Easter Monday. Wak Sahati – kakak sulung abahku itu – dijaga oleh anak keduanya, Kak Hani di Benut, Pontian. Isteri dan dua anaknya yang lain, tidak ikut bersama. Aku sahaja yang tengah risau sekarang ni. Dengan adanya abang Majek, maka dia juga akan tahu rahsiaku – mengenakan niqab di tandas departure hall setelah melepasi kaunter imigresen.
Tinggal lagi sejam sebelum masa penerbangan, abah dan abang Majek tak juga kelihatan. Kami sudah menanti di hadapan pintu masuk pelepasan imigresen. Aku tenang saja, tapi dalam hati resah juga. Mana taknya, 45 minit sebelum masa penerbangan; kaunter imigresen akan ditutup. Tapi kala ini, kelihatannya emak yang lebih susah hati berbanding aku – takut anaknya terlepas flight! Sampaikan mak terpaksa menghantar dua utusan – Amnah dan Amirul - mengesan jejak abah kerana handphone abah tidak dapat dikesan oleh radar emak.
Tak sampai 5 minit usaha menjejak dilakukan, kelihatan Amnah dan Amirul disusuli abah, abang Majek dan anak-anaknya. Kami mula bersalam-salaman. Mummy… I hate this part right here! I really can't see your
tears, mak! Dari dulu lagi aku memang tak suka menangis di hadapan mak dan abah sebab nampak sangat yang aku ni lembik. Tapi, waktu dan saat ini bagaikan telah menghalalkan air mata aku untuk tumpah juga. Aku jadi kalah dan lemah bila melihat mak menangis lalu mengucup pipiku. Konon-kononnya tak nak menangis - tapi bila sudah mak yang memulakan drama air mata ini – aku 'termenangis' juga semasa adegan peluk cium pipi mak, semasa mendakap abah, juga Amnah dan Amirul.
Kemudian, aku lekas-lekas ke kaunter hand-luggage scanning terus ke kaunter imigresen. Sekali lagi aku berpaling ke belakang – mereka masih ada lagi rupanya – menghantar aku sehingga hilang dari pandangan. Abang Majek dan anak-anaknya? Tentu sahaja sudah aku tinggalkan jauh di belakang! Jauh dalam hatiku berharap agar kami tidak duduk bersebelahan semasa di dalam flight kelak – walaupun peluang untuk duduk berdekatan agak cerah kerana kami check-in bersama-sama di kaunter check-in sebentar tadi.
Dengan pantas, aku melangkah ke tandas balai berlepas – tanpa menoleh ke kiri kanan lagi. Alhamdulillah, misi memakai niqab terlaksana dengan jayanya. Siap dengan kaca mata kelabu lagi. Sampai bila aku akan berkeadaan begini – menyembunyikan status 'berniqab' – aku sendiri tak tahu. Yang pasti, aku sentiasa berharap dan berdoa supaya suatu hari nanti – insya Allah – 'mujahid'ku sedia mengizinkan aku untuk terus berniqab. Mataku sempat mencari-cari – mana pula sepupu aku tu? Oh, tu dia. Dengan anak-anaknya yang pasti, berbual-bual dengan siapa entah… Tapi aku tak pasti sama ada dia perasan atau tidak dengan sepupunya ini yang sudah ber'salin kulit'.
Oh, ya. Kenapa aku seperti 'alergik' kepada abang Majek ya? Sebetulnya, aku bukan alergik kepadanya dan tiada sebab pun untuk aku jadi alergik kepadanya. Jawapan kepada persoalan ini ialah kerana aku sejak kecil memang tak rapat lagi tak biasa untuk beramah mesra dengannya, walaupun kami sepupu yang rapat dari segi nasabnya. Apatah lagi dengan jarak usia kami yang jauh berbeza; abang Majek seusia dengan mak iaitu setahun lebih muda dari abah. Kalau ada pun, tegur-tegur yang biasa saja; itupun abang Majek yang memulakan dahulu. Kalau nak tunggu aku, agaknya sampai bila-bila pun kami tak bercakap. Tapi, walaupun aku tak berapa 'mesra alam' dengan abang Majek, aku suka bermain dengan anak bongsunya – si kecil Hanif – walaupun budak tiga tahun tu rimas dengan aku. Aku jadi teringat dengan satu peristiwa kecil, pada Syawal 1429 H di rumah Wak Sahati (Kampung Sg Apin, Simunjan) – waktu itu, Wak Sahati masih sihat dan belum dijaga oleh Kak Hani lagi – di mana aku sedang membasuh pinggan mangkuk di sinki sewaktu aku merasakan ada sepasang tangan kecil memeluk pinggangku yang ramping (perasaan perasan), sambil memanggilku, "Mak…. Mak…". Aku tidak menyahut tapi aku sudah tersenyum-senyum. Dan aku pasti, Kak Jijah yang sedang makan dekat-dekat situ juga tengah menahan gelak melihat babak 'tersalah mak' itu. Usai basuhan terakhir, aku berpaling ke belakang dan… "Chak!!" Hanif terperanjat biawak lantas lari dengan muka 'termalu'nya. Geramnya. Sombong. Macam aku juga. Tak sempat aku nak menangkap tangan comel itu. Tadi bukan main lagi peluk orang. Baru dia sedar yang ibunya dekat-dekat situ juga – menggelakkan dia.
Untuk beberapa minit terakhir sebelum berlepas ini, aku cuma duduk di bangku berdekatan Gate A, laluan yang akan membawa kami masuk ke dalam pesawat. Walaupun agak boring dan tak faham pula, mataku ralit menonton TV yang menyiarkan drama klasik Cina entah apa-apa di terminal terakhir itu. Waktu Maghrib baru masuk 5 minit yang lepas. Nak solat Maghrib rasanya tak sempat, sebab dalam masa kurang dari 10 minit lagi pengumuman berlepas akan dibuat. Maka, aku dah budget akan menunaikan solat di dalam flight saja nanti sementelah wudhu yang masih belum terbatal lagi ini.
Seperti yang dijadualkan, pengumuman pesawat yang akan kami naiki dikeudarakan. Aku lekas-lekas bangun memenuhi barisan pemeriksaan boarding pass kerana tidak mahu berdiri di barisan yang belakang. Jenuh juga bawa hand-luggage ni – beg laptop, beg sandang, beg buku dan beg yang terisi udang goreng untuk Pak Mat. Mataku dengan awasnya memerhati orang sekelilingku; apa lagi kalau bukan nak mencari di mana sepupuku dan anak-anaknya itu. Tu dia, oopss… Jangan sampai ternampak. Di celah-celah penumpang yang ramai itu, aku nampak abang Majek dan anak-anaknya cuma selang beberapa penumpang sahaja di belakangku.
Akhirnya selamat juga memasuki perut pesawat ini. Melihat cik kak pramugari yang berskirt merah separas paha itu mengucapkan selamat datang, aku jadi lucu sendiri. Lucu melihat wajahnya yang serba salah, tak tahu sama ada nak senyum atau tak kepadaku; sebab – aku - muka sudah la bertutup, mata pun bertutup dengan kaca mata kelabu juga. Aku terus mencari-cari seat berpandukan nombornya. Seat aku – 21F – di tepi tingkap. Syukur, Alhamdulillah. Sememangnya aku sangat berharap dapat duduk berdekatan tingkap pesawat kerana akan memudahkan kerja-kerja aku untuk solat dan juga untuk membetul-betulkan niqab bila perlu. Aku membetul-betulkan hujung kerudung labuh biru tuaku – mencari posisi yang lebih selesa - sebelum memasang safety belt. Di sebelah kiriku, dua seat yang belum terisi itu – aku berharap, bukan untuk abang Majek dan anak-anaknya.
Aku baru sudah mengerjakan solat Maghrib dalam keadaan duduk. Pesawat kini baru sahaja meluncur laju di angkasa membuatkan perutku terasa geli-geli bagaikan dilambung. Bumi Kenyalang yang kelihatan hidup dengan kerdipan cahaya neonnya dari udara kini semakin berbalam-balam dan akhirnya gelap ditelan zulmat malam, apabila pesawat semakin tinggi setinggi 60,000 kaki dari aras laut; begitu menurut juruterbang yang mengumumkan keadaan pesawat ketika ini. Sebentar lagi, operasi menjual makanan akan dijalankan di dalam penerbangan ini. Dan aku sendiri terasa ingin mengunyah sesuatu – padahal perutku masih kenyang penangan lima mangkuk Laksa penang mak siang tadi – apabila membelek-belek brochure Air Asia ini. Makaroni daging itu begitu menggugat seleraku sejak tadi. Sebelum ini, memang tak pernah-pernah aku pandang sebelah mata pun pada brochure makanan Air Asia ni. Bukan apa, sebal pada harga yang mahal. Haiszz… Nafsu lah ni.
Sekilas mataku menoleh kepada dua penumpang di sebelahku; makcik berbangsa Cina yang di sebelahku ini sedang lena, manakala cik kak yang di sebelahnya tu sedang membaca dengan diterangi lampu kabin sahaja. Anak-anak kapal baru sahaja melangsungkan urusniaga jualbeli makanan di dalam penerbangan ini. Aku jadi hilang selera makan setelah melihat jiran-jiranku bagai tiada mood hendak makan. Segan pula bila terpaksa makan seorang nanti. Maka, jalan terbaik ialah; menidurkan diri. Nak membuang pandang ke luar pun apa sangatlah yang dapat dilihat selain hitam gelap malam sahaja. Aku membungkus diri dalam dingin hawa pesawat ini. Aku cuba juga memujuk mata untuk terlelap walau sekejap. Tak dapat lelap, sebab memang tak mengantuk pun. Jealous pula tengok auntie sebelah aku ni tidur siap dengan dengkurnya lagi.
Penerbangan tinggal kira-kira 15 minit sahaja lagi, begitulah intipati juruterbang yang membuat pengumuman. Dan kini, sayup-sayup pada pandanganku – sudah kelihatan cahaya neon yang berbalam-balam dari atas ruang udara. Cahaya neon Darul Takzim tentunya!
Kini kakiku sedang melangkah di bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail; dalam perjalanan ke dewan tuntutan bagasi. Syukur Alhamdulillah, penerbangan kami lancar tanpa sebarang gangguan. Dalam perjalanan itulah aku menanggalkan niqab yang aku pakai tanpa menanggalkan kaca mata. Kaca mata ini item terakhir yang akan aku tanggalkan selepas mengambil satu-satunya bagasi aku kelak. Bukan apa, takut Mak Mah dan Pak Mat tak cam dengan wajah aku nanti. Waktu ini aku terlupa seketika dengan kehadiran sepupuku dan anak-anaknya itu.
Beg biru yang bertroli itu aku sorong perlahan-lahan menuju ke pintu yang memisahkan dewan tuntutan bagasi dengan balai ketibaan. Aku menanggalkan kaca mata kelabu lalu cuba mengamati orang-orang di sekelilingku. Kepalaku terasa berpinar-pinar seketika. Dalam kabur-kabur mataku, aku seperti terlihat-lihat seseorang yang bertudung melambai-lambai ke arahku.
"Mak Mah, Pak Mat!" Ujarku girang, setelah mengecam wajah di hadapanku; walau dalam kabur-kabur. Rabun ke apa aku ni? Rasa macam nak pitam juga. Tahan dulu… Jangan pitam kat sini. Buat malu saja. Nak pitam, tunggu masuk kereta karang.
Aku bersalaman dengan Pak Mat dan Mak Mah yang datang dari jauh untuk menjemputku. Pak Mat dan Mak Mah bertanya kepadaku; what's happening? Nuna nampak macam pening-pening saja, kata mereka. Nuna pening sikit saja, don't worrylah, jawabku. Oh, ya… Nuna adalah nama glamour aku di kalangan uncle, auntie serta sepupu dan sepapat di sini. Nuna – Nur Amalina – ambil nama hadapan dan belakang. Entah siapalah punya idea ni, tapi menurut cerita mak, aku sendiri yang membahasakan diri dengan nama Nuna masa aku kecil tak sedar diri dulu. Entah ya atau tak, aku sendiri lupa.
"Kau kenal tak siapa ni?" Tiba-tiba Pak Mat bertanya demikian membuat aku berpaling ke belakang untuk melihat siapa yang dimaksudkannya.
"Abang Tahar!" Ujarku dengan spontan dan tanpa sedar, aku terus mencium tangannya – sama seperti aku menyalami Pak Mat dan Mak Mah tadi. Langsung aku tak teringat yang antara aku dan abang Tahar ada batas yang tidak menghalalkan kami bersentuhan; sekalipun bersalam atas dasar hormat kepadanya. Kemudian, baru aku tersedar akan khilafku; Abang Tahar tu suami sepupuku, Kak Hani! Segera aku beristighfar berkali-kali di dalam hati dengan dada yang berdegup kencang. Memang sedari dulu lagi aku pandang Abang Tahar macam seorang pakcik bagiku, bukan sebagai abang sepupu ipar; kerana usianya lebih kurang mak dan abah. Malah, sudah bercucu pun. Tapi… Tindakan aku bersalam dengannya tadi….. Siap cium tangan lagi. Arghh!! Lain kali aku harus beringat-ingat dan berhati-hati dalam segala tindakan! Dan jangan lupa. Abang Tahar tu; abang sepupu ipar. Bukan bapa saudara yang aqrab!
Abang Tahar rupa-rupanya yang datang menjemput abang iparnya, Abang Majek dan anak-anaknya itu. Dia datang ditemani anak ketiganya; Udin. Kak Hani pula tak dapat datang kerana sedang shift kerja kilang. Aku membiarkan sahaja Pak Mat-Mak Mah dan sepupuku itu beramah mesra sebentar sebelum kami bersama-sama mengatur langkah ke car park yang jauhnya sebatu. Pak Mat-Mak Mah mengenali keluarga Kak Hani-Abang Tahar sejak menghantar mak-abah menziarahi keluarga mereka di Benut hujung tahun sudah. Dari apa yang Mak Mah ceritakan sepanjang perjalanan ke car park, Mak Mah yang terlebih dahulu menyedari kehadiran abang Tahar di hadapan balai ketibaan itu. Tetapi, bila cakap pada Pak Mat, Pak Mat tak percaya pula. Pak Mat kata, Mak Mah silap orang; India manalah yang Mak Mah nampak – memang pun Abang Tahar agak hitam manis orangnya. Ditakdirkan juga Abang Tahar perasan akan kehadiran Pak Mat-Mak Mah, maka dia terus menghampiri keduanya dan tegur. Waktu itulah, Mak Mah rasa trofi kemenangan sudah berpihak kepadanya. Pak Mat dah senyum-senyum malu.
Kami akhirnya berpisah di car park. Kala melangkah masuk sahaja ke dalam perut Myvi biru metalik ini, aku menghela nafas lega diiringi lafaz Alhamdulillah kerana sempat menahan diri dari pitam di tengah-tengah khalayak ramai. Kepalaku masih berdenyut-denyut lagi terutamanya di bahagian medula oblongata; mungkin masih cuba menyesuaikan diri dengan tekanan udara yang berlainan. Pelik ya, sebelum ini tak pernah-pernah pula fenomena sebegini melanda diriku. Chewah! Dan aku sudah tersadai di tempat duduk belakang itu sebelum Mak Mah mengejutkan aku apabila kereta ini berhenti di suatu tempat. Oh, dah sampai Kulai rupanya. Dan, oh juga. Aku 'koma' rupanya tadi. Berjaya juga aku melelapkan diri. Tapi, buat apa di Kulai ni ya? Macam buat-buat tak tahu pula. Bila dah sampai di hadapan pintu masuk KFC, apa lagi? Makan time!
Kami meneruskan perjalanan yang tertunda selepas setengah jam 'kenduri' di KFC Kulai. Untuk ini, aku sangat-sangat berterima kasih kepada Pak Mat dan Kolonel KFC Holding Malaysia - Tok Jamal yang tak pernah mengenaliku sebagai cucu saudaranya ini – kerana telah sudi menyumbang kupon KFC kepada Pak Mat untuk sponsor kenduri kami sebentar tadi. Alhamdulillah, kenyangnya. Oh, ya. Kalau Pak Mat dan Mak Mah tak ingatkan, ampun lah… Tak teringat langsung nak call mak dan abah. Aku segera mengisytiharkan ketibaan aku di JB ini dengan selamatnya kepada penaja program ini; tentulah mak dan abah! Lagipun, aku pulang ini pun dengan satu amanah dari mak dan abah – kena serahkan udang goreng kepada Pak Mat - sebagai ganti kepah yang Pak Mat kirim dari Sarawak. Sudah dua minggu abah cari kepah, tapi bukan rezeki gamaknya; tak jumpa-jumpa pun. Yang Amnah - si becok bagaikan ayam belanda tercabut ekor - tu pula, siap SMS Pak Mat dengan hikayat mengarutnya, mak yang pergi menjala udang kat sungai untuk buat udang goreng yang aku bawa ni!
Di dalam perjalanan, aku cuma diam sahaja sambil mendengar Pak Mat dan Mak Mah berceloteh. Sesekali menyampuk, itu pun bila ditanya sahaja. Rasa agak mengantuk, tapi tak dapat tidur lagi sebab terlalu kenyang. Full tank sangat-sangat. Rasa-rasanya sepertiga ruang yang direserved untuk udara tu pun dah di'rampas' oleh Pepsi dan ayam KFC. Alamak! Makruh dah ni….
Sedar tak sedar, menghampiri angka 12 malam kami tiba dengan selamatnya di bandar Batu Pahat. Aku sudah tak sabar-sabar hendak berjumpa dengan embah. Bagaimana agaknya kondisi embah setelah hampir empat bulan aku meninggalkannya? Saat ini, aku terlupa rumahku seketika – lupa pada emak, abah, Amnah, Amirul dan kucing-kucingku yang bertiga tu.
Kami tiba di simpang Kampung Parit Sempadan apabila jam di dashboard menunjukkan pukul 1213 tengah malam. Mak aihh… Gelap gelitanya kampungku tanpa lampu jalan. Hanya lampu kereta Pak Mat saja yang menerangi sehinggalah memasuki perkarangan rumah embah. Dan… Itu dia, Pak Chop yang menyambut kedatangan kami tengah-tengah malam begini. Aku salam Pak Chop dan meluru ke arah embah yang aku rindui. Rindu sangat-sangat! Aku cium tangan tua embah dan juga pipi-dahinya. Embah sedang terbaring di tilamnya; barangkali baru terjaga dari lena sewaktu aku tiba. Mak Mah dan Pak Mat pula sedang sibuk di dapur; urusan pembahagian harta - udang goreng – Separuh Mak Mah ambil manakala separuhnya lagi ditinggalkan untuk embah dan seisi rumah ini. Kalau tak kerana alergik dengan seafood, akulah orang pertama yang akan berpesta dengan udang goreng tu. Melihat udang-udang yang montel-montel ini, sudah kecur liur dibuatnya. Mak siap memberi amaran keras kepada Along Si Ceti Halal - sampai JB saja, terus bagi Pak Mat udang ni - sebab menurut mak lagi, aku ni bukan boleh percaya sangat.
"Mak engkau bila balik?"
Tak semena-mena embah menangis. Aku yang baru sampai ini, belum pun sempat duduk lepas memeluknya tadi – embah sudah tanya bila mak balik.
"Mak balik hujung bulan depan, embah." Ujarku sambil menenangkan embah.
Mesti embah rindu sangat pada mak, kan? Tapi, aku kan ada? Aduhai embah, tadi anak embah pun menangis juga. Air mata anak embah, masih lagi melekat pada tudung anak kepada anak embah ni.
Malam itu – awal pagi sebetulnya – aku tidur dengan embah di ruang tamu berhadapan bilik Pak Padil, untuk memudahkan embah ke tandas bila perlu. Dan setakat ini, habis dulu cerita untuk hari ini. Cerita sekerat hari yang aku karang panjang-panjang bagaikan cerita seribu satu malam pula. Kalau sehari penuh, tak tahulah panjang mana. Esok-esok tak tahu lagi apa yang bakal terjadi. Good night, Nuna… Sweet dream. J

~AsmaAmaninaJParitSempadan~

::Hayya|Nadrusu|Lughatul|Jannah::

Jom Imarahkan Masjid!

Tebarkan Salam ke Serata Alam

salam

Friday, June 18, 2010

No comments:

Sahabat QQ