Sebuah Catatan Rindu IX-Episod Akhir

18 Disember 2009 @ 1 Muharram 1431 H

Selamat tinggal desaku!

Seawal subuh kami sudah terjaga. Jam baru menunjukkan waktu 5.45 pagi tetapi suasana sudah mula hidup. Terang benderang walaupun di luar warna gelap pekat masih melatari langit Parit Sempadan. Pakaian-pakaian separa kering yang tersidai di penyidai besi di sudut rumah saya kumpulkan untuk dilipat dan dipadatkan ke dalam beg pakaian. Masing-masing sedang sibuk menyiapkan diri. Sementara menanti adik-adik mandi, seperti biasa saya membantu emak menyediakan sarapan. Sarapan buat embah kami sediakan terlebih dahulu. Embah tetap menjadi keutamaan walaupun di dalam suasana kalut begini.

Sedar-sedar sudah jam 8 pagi. Pak Aye sedang membantu memasukkan bagasi ke dalam boot Toyota Wish hitamnya. Pak Long dan Mak Long sudah lama datang menziarahi kami untuk mengucapkan selamat tinggal. Baru sebentar tadi, Pak Chop dan Cik Yati datang. Mak Mud yang tidak disangka-sangka akan datang juga turut berada di sini menziarahi kami.

Jam sudah menunjukkan hampir jam 9 apabila mereka semua iaitu abah, mama, Amnah dan Amirul akan bertolak terlebih dahulu bersama Pak Aye. Sementara saya dan Kak Ngah akan tinggal sementara menanti Pak Mat tiba. Masing-masing kini sudah mula bersalaman dengan saudara-mara, begitu juga dengan saya sendiri. Embah lebih tenang berbanding malam semalam. Cuma mama saja yang kelihatan agak emosi. Mata mama sudah merah dengan air matanya berlinangan. Saya? Cool saja… Tapi sebak juga tatkala mengucup dahi dan kedua belah pipi embah.

~ teratak embah ~

Pak Aye sudah kelihatan gelisah dan tidak senang duduk untuk meninggalkan saya dan Kak Ngah apabila Pak Mat belum sampai lagi sedangkan jam sudah menghampiri 9 pagi. Saya tidak kisah kerana flight saya lama lagi, iaitu pada jam 6 petang ini. Mak Mud akhirnya membuat keputusan yang tidak dijangka apabila dia menawarkan diri untuk menghantar kami separuh jalan sahaja. Mana tahu di pertengahan jalan nanti akan terserempak dengan Pak Mat, jadi tak perlulah Pak Mat ke rumah embah lagi untuk mengambil kami.

Mak Mud hanya menghantar kami setakat di Bagan sahaja kerana setelah saya membuat panggilan ke nombor Pak Mat, ternyata dia sudah berada Parit Sempadan! Entah jalan mana Pak Mat guna, kami pun tidak tahu kerana sepanjang perjalanan ini tidak pula kami terserempak dengan kereta Pak Mat. Rupa-rupanya Pak Mat terlambat sedikit kerana menghantar Mak Semah ke sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil kami. Rasa bersalah pula kerana mengikut Mak Mud tadi tetapi apakan daya, kami hanya menurut sahaja sebagai tanda meraikan Mak Mud.

Dipendekkan cerita, perjalanan kami memakan masa lebih kurang dua jam. Terkandas selama beberapa minit di highway kerana kesesakan disebabkan ada kerja-kerja pembaikpulihan sedang dijalankan. Tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai pada jam 10.45 pagi. Setibanya di sana, trip Pak Aye, Mak Teng, Kak Nadia, 4 orang anak Pak Aye; Faidhi, Wahidah, Nadhirah dan Nafis yang datang bersama Kak Didi sudah sampai terlebih dahulu menanti kami di ruang legar yang tak berapa luas di airport itu. Cuma Mak Teh sahaja yang tiada kerana bekerja.

Diriku ditinggalkan...

Disebabkan flight keluarga saya dijadualkan pada jam 11.45 pagi ini, maka abah dengan dibantu mama membawa bagasi-bagasi pakaian termasuklah satu-satunya bagasi saya untuk tujuan scan dan seterusnya check-in. Alhamdulillah, terima kasih mama dan abah… Tak perlulah saya risau tentang beg saya nanti atau memikirkan ke mana saya hendak mengangkut bagasi yang boleh tahan beratnya itu. Mama dan abah kembali selepas selesai check-in segala bagasi. Tidak lama selepas itu, mereka meminta diri untuk ke ruangan balai berlepas. Kami saling bersalaman, dan mereka pergi meninggalkan saya, melangkah masuk ke dalam balai berlepas.

Sebenarnya dari tadi lagi Pak Aye sudah mengajak saya untuk singgah sebentar di rumahnya sementara menanti flight saya yang dijadualkan petang ini. Untung saja tidak berlaku sebarang perubahan jadual penerbangan, kalau tidak pasti akan menimbulkan kesulitan lagi. Saya pula masih dengan plan yang sudah saya rancang awal-awal lagi sejak mengetahui jadual penerbangan saya. Tiada apa-apa pun yang menarik yang saya rancangankan, cuma ingin menjelajah airport yang sudah lama ingin saya teroka ini. Dan kalaupun penat, saya sudah merancang untuk berehat di surau airport yang terletak di ground level sambil mengaccess kemudahan wireless yang terdapat di sini. Saya cuma memberi alasan kepada Pak Aye bahawa saya malas hendak berulang-alik kerana tidak mahu terlalu penat. Lagipun, saya tidak mahu menyusahkan Pak Aye. Jarak rumah Pak Aye ke airport juga bukanlah dekat jika hendak berulang lagi. Fuhh.. Nasib baik Pak Aye terima juga alasan saya yang tidak berapa kukuh lagi rapuh ini. J

Saya baru sahaja mahu bersorak kegembiraan di dalam hati dengan kebebasan yang baru dikecapi apabila Pak Mat pula beriya-iya mengajak saya untuk mengikutinya. Kak Didi pun turut menyokong ayahnya. Saya tahu, mereka amat risaukan saya lebih-lebih lagi setelah mengetahui situasi saya yang terpaksa menunggu di airport selama 6 jam sementara menanti waktu penerbangan. Tapi bagi saya, tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya sudah biasa bersendirian. Mama dan abah pun tidak bimbangkan saya sepeninggalan mereka. Lagipun, airport Senai bukan seperti KLIA yang luasnya boleh membuatkan sesiapa yang tidak biasa di sana akan sesat. Tapi saya tahu, kalau dengan orang lain, bolehlah saya beri 1001 alasan tetapi tidak dengan Pak Mat. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menyusahkan sesiapa tetapi Pak Mat bagaikan tidak kisah. Tak tahu ke mana hendak dibawanya saya, tetapi yang pasti menurut Kak Didi, Pak Mat akan membawa saya ke rumah kenalannya di Kempas.

Kami bersama-sama menuju ke kawasan car park. Kak Didi memohon diri sebelum memandu Kancil putihnya balik ke Batu Pahat. Saya kini bersama Pak Mat menuju ke destinasi yang saya sendiri tidak pasti. 15 minit memandu akhirnya MyVi biru metallic Pak Mat membelok ke arah kiri memasuki perkarangan sebuah taman perumahan yang dikenali dengan nama Taman Kempas Indah sebelum berhenti betul-betul di hadapan sebuah kediaman banglo dua tingkat. Tuan rumah yang merupakan seorang pakcik baya-baya abah saya berdiri di muka pintu hadapan dengan ramahnya mempersilakan kami masuk.

Di sebuah teratak mewah itu...

Sebuah helaan nafas lega saya hembuskan perlahan sebaik sahaja punggung mencecah sofa lembut di ruang tamu kediaman itu. Penat bercampur pening-pening lalat yang saya alami sebentar tadi serasa hilang begitu sahaja. Mata terpana melihat sebuah aquarium besar yang terisi dengan beraneka jenis ikan berwarna-warni di pinggir ruang tamu itu. Leka memandangnya serasa terapi yang menyembuhkan sakit kepala yang saya alami.

Pak Mat rancak berbual-bual dengan pakcik tuan rumah. Saya pula, selepas memperkenalkan diri seadanya dengan pakcik dan makcik tuan rumah, asyik melihat anak gadis tuan rumah yang bermain dengan kucingnya. Bukan asyik melihat gadis itu tetapi kucingnya..hehe.. Daripada perbualan mereka saya dapat menangkap bahawa tuan rumah ini mempunyai 4 orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Dan apa yang lebih memeranjatkan saya, makcik tuan rumah ini rupa-rupanyabaru sahaja kembali dari melancong ke China sekitar jam 3 pagi tadi. Tidak hairanlah jika melihat keadaan di pinggir ruang tamu yang agak berselerak sedikit dengan barang-barang yang belum dikemas. Kasihannya makcik ni.. Patut pun nampak matanya kuyu semacam. Rupa-rupanya kurang tidur. Sudahlah begitu, ada pula tetamu yang tidak diundang ni datang…

Leka mereka berbual sehingga hampir tiba waktu Zohor. Bermakna mereka akan pergi bersolat Jumaat dan tinggal saya seorang diri di rumah besar ini. Pasti saya akan kekok apabila Pak Mat keluar bersolat Jumaat sebentar lagi. Dalam hati saya cuma dapat berdoa supaya semua ini akan berlalu secepat mungkin.

Sebaik sahaja pakcik TR, Pak Mat dan anak lelaki bongsu TR pergi bersolat Jumaat, saya masih duduk lagi di ruang tamu bersama makcik TR. Kedua-dua anak gadisnya keluar sebentar membeli lauk untuk makan tengah hari. Sangkaan awal saya yang saya akan menjadi kekok sepeninggalan Pak Mat menunaikan fardhu Jumaat ternyata meleset sama sekali. Makcik TR walaupun dalam ketara nampak penatnya telah berjaya memecahkan tembok 'malu-malu kucing' serta merapatkan jurang yang tercipta di antara kami. Ramah sungguh makcik ni, tak sepadan dengan wajah penatnya. Dari cerita makcik ni, anak sulung lelakinya yang sebaya dengan saya berada di KL. Bagus jugalah, kalau tidak bertambah seganlah saya berada di sini.

Bermacam-macam topic yang makcik friendly ini bualkan dengan saya. Dari cerita tentang keluarganya sehinggalah cerita pengembaraannya selama 2 minggu di Guangzhou, China. Setidak-tidaknya, tidaklah saya berasa kekok sangat sekaligus merasakan bagaikan sudah lama kenal dengannya.

Leka kami berbual sehinggakan tidak sedar waktu berlalu begitu pantas. Pak Mat, pakcik TR dan anaknya sudah kembali dari masjid. Tidak lama kemudian, dua orang anak gadisnya pula menyusul membawa lauk untuk tengah hari itu. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang apabila Tia, anak gadis TR mengajak saya ke kamar tidurnya di tingkat atas untuk berehat. Memang dah lama rasanya saya nak membaringkan tubuh saya yang sudah sedia penat ini. Kalau pun saya berada di surau airport sekarang sudah tentu saya sudah menjadikan sejadah di surau itu sebagai alas untuk melabuhkan tubuh saya. Tapi saya seakan bersalah pula apabila melihat makcik sedang bertungkus lumus di dapur memasak bersama anak gadis sulungnya. Rasa hendak melangkah ke dapur membantu makcik tetapi Tia sudah terlebih dahulu menarik tangan saya menginjak anak tangga ke tingkat atas.

Sempat berbual sebentar bersama Tia di kamarnya sebelum mata dengan mudahnya terlelap di atas tilam empuk. Sedar-sedar sahaja, Tia mengejutkan saya untuk turun ke bawah untuk makan tengah hari. Jam di tangan saya kerling. Pukul 2.35 petang. Sempat 15 minit saya terlelap, tetapi lenanya macam semalaman tidur.

Dengan langkah yang sengaja dicergaskan, saya melangkah turun ke bawah untuk bersama-sama dengan keluarga itu menghadap makan tengah hari. Kelihatan Pak Mat sedang lena di sofa ruang tamu, keletihan barangkali. Maklumlah, hari ini Pak Mat berpuasa sunat sempena Awal Muharram. Juadah yang ringkas, namun sudah cukup untuk menambat selera saya dengan perut yang sudah meronta-ronta minta diisi.

Selesai makan, kami bersantai di ruang tamu kembali. Pak Mat sudah terjaga dari lenanya sebentar tadi. Pakcik TR mengajak Pak Mat untuk menghantar anak lelakinya menyertai perkhemahan jamboree pengakap di Kangkar. Makcik pula kelihatannya sudah terbaring kepenatan di atas permaidani di hadapan televisyen. Sempat lagi Pak Mat berpesan kepada saya dalam nada usikannya supaya saya jangan menangis sepeninggalannya.

Waktu saya rasakan berlalu begitu lama. Jam baru menunjukkan pukul 3.15 petang. Tia sudah menawarkan dirinya untuk menghantar saya ke airport jika Pak Mat terlewat. Mama dan abah yang sudah tiba di LTAK sejak sejam yang lalu juga kerap menghubungi saya agar tidak terleka dengan masa penerbangan. Mata yang hampir-hampir mengantuk saya segar-segarkan dengan menonton televisyen walaupun rancangannya agak membosankan. Saya sudah menetapkan target, jika Pak Mat tidak kembali sehingga jam 4.30 petang, bermakna saya terpaksa meminta pertolongan Tia untuk menghantar saya ke airport.

Alhamdulillah, setelah saya menghubungi Pak Mat untuk mengesahkan di mana dia berada sekarang, barulah saya lega apabila mengetahui Pak Mat sedang di dalam perjalanan kembali. Beberapa minit kemudian, deruman enjin kenderaan pacuan empat roda kedengaran memasuki perkarangan kediaman ini. Pak Mat masuk sebelum meminta diri dengan tuan rumah untuk beransur pergi. Kami bersalaman dengan pakcik, dan dua anak gadisnya. Makcik yang sedang lena kepenatan tidak saya benarkan untuk mengejutnya. Terima kasih buat keluarga peramah ini atas budi baik mereka yang sudi menumpangkan saya.

Di mana hati dan jiwa saya sekarang? Yang pasti bukan lagi berada di dalam perut kereta MyVi Pak Mat. Sebaliknya sudah berada berlegar-legar di airport walau hakikatnya jasad saya berada di dalam kereta. Keterujaan saya untuk segera sampai ke airport dan segera berada di balai berlepas sangat tinggi ketika ini. Hati saya hanya akan berasa lega setelah segalanya selesai dan hanya menanti announcement untuk berlepas di terminal berlepas. Berada sekitar 10 minit di dalam kereta kerana kesesakan disebabkan berlaku kemalangan kecil yang melibatkan sebuah Perodua Kancil amat meresahkan jiwa saya. Ternyata ketokohan Pak Mat di atas jalan raya berjaya mengatasi kegalauan hati saya.Tidak sampai setengah jam, kesesakan trafik itu dapat Pak Mat tawan dengan keterrorannya memandu ala Michael Schumaker walaupun sedikit membuatkan saya pening-pening lalat.. J

Senai... Aku menaklukimu!!

Setibanya di airport, saya melangkah pantas terlebih dahulu menuju ke kaunter scan untuk tujuan scan beg laptop dan handbag saya. Pak Mat pula sedang mencari tempat untuk memarkirkan keretanya. Kalut juga dibuatnya setibanya saya di hadapan kaunter scan apabila seorang wanita muda berbangsa Cina menahan saya meminta bantuan saya agar menempatkan bagasinya yang over-weight untuk saya check-in. Oleh kerana kami sama flight dan saya tiada bebanan untuk ditanggung maka saya pun bersetuju untuk membantu akak ni. Kasihan sungguh melihat wanita itu yang kelihatan masih terdesak mencari penumpang yang sama flight untuk membantu menempatkan bagasinya yang masih berlebihan itu. Sempat juga diberinya saya sekeping not RM50, bimbang jika bagasinya yang besar ini over-weight lagi.

Sedang saya berbaris di kaunter check-in menunggu giliran, Pak Mat tiba-tiba sahaja sudah berdiri di sebelah saya. Cuak juga sekiranya Pak Mat bertanyakan tentang beg ini namun saya buat-buat selamba sahaja. Sempat Pak Mat berseloroh mengatakan bagasi yang disangkakan milik saya ini begitu besar dan berat macam ada batu bata di dalamnya. Saya hanya tersenyum kambing tanpa berani mengulas apa-apa. J

Alhamdulillah, bagasi akak tu tidaklah sampai terlebih berat. Elok-elok saja 14.98kg. Maknanya saya harus mencari kakak itu untuk mengembalikan wangnya. Nasib baik kakak itu masih berada berhampiran pintu masuk ke kaunter chek-in sedang berbual-bual dengan sepasang couple. Barangkali juga ingin meminta bantuan dari couple tersebut. Tanpa menghiraukan pasangan couple itu segera saya menghampirinya lalu berbual sebentar dengannya sekadar berbasa-basi, terus mengembalikan wang tersebut.

Baru sahaja hendak melangkah pergi bersama Pak Mat, tiba-tiba…
"Nur!"
Telinga saya menangkap satu gelombang suara. Begitu hampir dengan saya. Langkah saya mati. Begitu juga Pak Mat. Segera saya menoleh.

"Najwa!" Balas saya spontan setelah mengecam wajah empunya suara itu. Lantas kami berpelukan tanpa menghiraukan kesibukan orang sekeliling melihat adegan sebabak 'Jejak Kasih' ini.

Indah Sebuah Pertemuan...

Rupa-rupanya gadis dari pasangan yang saya sangkakan 'pasangan kekasih' itu adalah sahabat saya, Siti Najwa. Sungguh saya tak sangka yang beliau sudah berumah tangga. Dan sungguh pertemuan ini tidak dijangka setelah 9 tahun kami terpisah.

Sempat saya perkenalkan Pak Mat dengan Najwa dan menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakangnya. Nampaknya kini Pak Mat tidaklah terlalu risau lagi untuk meninggalkan saya kerana sekurang-kurangnya ada orang yang saya kenal bersama di dalam penerbangan nanti. Kami sempat berbual bersama sepanjang berjalan menuju ke arah balai berlepas. Terlalu banyak persoalan yang ingin saya ajukan kepadanya setelah 9 tahun dia hilang dari hidup saya secara tiba-tiba. Daripada perbualan ringkas kami, saya mendapat tahu bahawa keluarga Najwa sekarang berada di Segamat, Johor. Suami Najwa pula berasal dari Negeri Sembilan. Kami tidak dapat bersama dengan lebih lama. Saya harus akur dengan keadaannya yang kini sudah bersuami. Kami akhirnya berpisah sebelum masuk ke balai berlepas.

45 minit sebelum saya dijadualkan berlepas, saya meminta izin Pak Mat untuk memasuki balai berlepas. Serasa seperti kanak-kanak apabila sudah besar-besar begini pun masih dipeluk dan dicium Pak Mat yang saya anggap seperti ayah saya sendiri. Abah sendiri pun tak pernah memeluk saya. Lambaian terakhir saya buat Pak Mat yang kian menjauh di pandangan apabila sudah melepasi kaunter scan di pintu masuk balai berlepas.

Setelah mengenakan niqab di tandas balai berlepas, saya berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai cenderamata sekadar untuk mencuci mata. Kalau nak membeli pun terpaksa fikir banyak kali kerana harga yang nyata amat mahal. Sesekali mata saya meliar mencari seseorang. Siapa lagi kalau bukan sahabat saya yang baru sahaja berjumpa sebentar tadi. Entah di manalah dia duduk menunggu sekarang. Akhirnya selera saya bertumpu di sebuah gerai yang menjual bahan bacaan dan makanan ringan. Pantang sungguh jumpa buku. Sebuah novel thriller terbaru Ramlee Awang Mursyid, sebuah majalah Mingguan Wanita dan sebuah majalah Infiniti menjadi sasaran saya. Kemudian, beralih pula ke gerai Famous Amos yang menjual pelbagai jenis coklat dan manisan lalu memilih sekotak Ferrero Rocher sebelum duduk di barisan bangku sementara menanti pengumuman berlepas dibuat. Beberapa kali saya mundar-mandir di sekitar monitor skrin yang tergantung di satu penjuru di balai berlepas itu sekadar untuk mengesahkan lagi nombor flight, waktu berlepas dan di gate mana saya harus menanti.

Cuaca di luar kelihatan mendung. Sekitar 5 minit lagi pengumuman pasti dibuat memandangkan 15 minit lagi kami dijadualkan berlepas. Sebelum apa-apa berlaku, saya segera menghubungi abah yang kini bersama ahli keluarga saya yang lain di LTAK untuk memaklumkan bahawa saya sudah hampir berlepas. Tidak lupa juga, saya maklumkan kepada Kak Didi agar dia tidak tertanya-tanya dengan keadaan saya.

Seperti yang dijadualkan, 10 minit sebelum berlepas pengumuman untuk pesawat berlepas dibuat. Para penumpang segera beratur membuat dua barisan memanjang menunggu giliran melepasi dua orang staff AirAsia yang memeriksa boarding pass penumpang. Di luar sudah kelihatan gerimis membasahi landasan pesawat. Saya bersama penumpang yang lain menapak masuk ke dalam pesawat. Di barisan hadapan passenger seat, kelihatan Najwa bersama suaminya. Sempat kami berbalas-balas lambaian. Nasib sayalah kerana terpaksa menapak jauh ke dalam lagi kerana seat saya terletak di belakang.

Alhamdulillah, saya mendapat seat di tepi tingkap. Memang saya kurang periksa dengan seat number di boarding pass saya sendiri. Teringat kembali sewaktu di zaman kanak-kanak, bilamana saya dan adik-adik selalu berebut untuk mendapatkan seat di tepi tingkap semata-mata untuk melihat panorama di atas udara. J

Lebih kurang 10 minit di dalam pesawat namun pesawat tidak pula menunjukkan tanda-tanda untuk bergerak. Arahan untuk mengenakan seat-belt sudah dikeluarkan dan saya pasti semua penumpang sudah mematuhinya. Demonstrasi keselamatan juga sudah dibuat. Cuma yang agak membuatkan saya tertanya-tanya, pesawat ini seakan ingin bergerak tetapi seringkali terhenti. Agak cuak juga saya dibuatnya. Mungkin juga penumpang yang lain perasan akan hal ini.

Melalui tingkap pesawat, rintik-rintik kasar hujan semakin kelihatan namun tidaklah selebat mana. Di sebelah saya, seorang lelaki pertengahan usia sedang khusyuk membaca buku yang entah apa-apalah tajuknya. Saya sedang leka memerhatikan rintik-rintik kasar hujan membasahi cermin tingkap yang dibiasi dengan lampu neon di landasan apabila satu suara pengumuman menyatakan bahawa penerbanagan ini ditunda atas sebab masalah teknikal. Sudah saya jangka perkara ini akan berlaku. Terdengar keluhan para penumpang setelah mendengar pengumuman dibuat meminta agar penumpang keluar sebentar dengan membawa semua hand luggage dan menunggu di terminal.

Jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang sewaktu saya bersama penumpang lain melangkah masuk semula ke dalam bangunan terminal setelah mengambil kupon delay flight dari kakitangan Air Asia. Entah sampai bila penerbangan ini akan tertangguh tiada siapa yang mampu menjawabnya. Dengan langkah yang steady, saya menghala ke arah barisan bangku yang agak jauh dari Gate. Dari jauh, mata saya secara tidak sengaja terlihat ke barisan bangku yang berhadapan dengan Gate A, iaitu pintu yang menghala ke arah pesawat yang akan kami naiki kelak. Spontan mata kami bertaut, lalu tersenyum. Ikutkan hati yang sedang merindu, mahu sahaja saya duduk bersantai dan berborak lagi dengannya tetapi memandangkan suaminya ada bersama, saya jadi segan. Sebelum saya terlupa, saya harus memaklumkan tentang kelewatan penerbangan JB-Kch kepada keluarga saya yang sedang menunggu di LTAK. Bimbang pula jika mereka risau akan keadaan saya yang masih tersangkut di sini.

Najwa masih seperti dahulu. Sama seperti 9 tahun yang lepas. Sedikit pun tidak berubah. Saya mengenalinya sejak kecil lagi. Keluarga Najwa berpindah ke komuniti perumahan kami seawal usia kami 9 tahun lagi. Kami bersekolah di tempat yang sama cuma berlainan kelas. Saya masih ingat lagi saat pertama kali kami berkenalan. Suatu petang yang permai, ketika kanak-kanak sebaya dengan saya bermain di sekitar perumahan itu, pintu rumah saya diketuk. Suara Fairus, anak jiran saya yang juga merupakan rakan sepermainan kedengaran memberi salam. Fairuslah yang memperkenalkan saya dengan Najwa dan petang itu bermulalah persahabatan kami. Kadang-kadang pergi dan balik sekolah bersama, bergantung dengan kelapangan ayah masing-masing untuk menghantar dan menjemput kami. Dengan ayahnya jugalah yang merupakan seorang ustaz saya berguru sehingga berjaya mengkhatamkan bacaan al-Quran.

Masih terasa lagi keempukan kuih donat kegemaran saya, hasil air tangan isteri ustaz. Selalu juga kami membeli kuih donat yang dijual oleh ustaz. Memang tiada tolok bandingnya keempukan kuih donat isteri ustaz. Jika ada kelapangan, kami selalu bermain bersama-sama dengan dua adik kembarnya, Ummu Nasihah dan Ummu Syuhada serta kawan-kawan kami yang lain di sekitar komuniti perumahan itu.

Budi baik keluarga Najwa kepada keluarga saya masih segar di ingatan dan mustahil untuk saya lupakan. Tanggal 6 Januari 1996, ibu saudara saya iaitu kakak kepada abah yang tinggal bersama-sama kami semenjak saya bayi lagi pergi menyahut seruan Ilahi kerana disahkan menghidap penyakit beri-beri. Di kala itulah keluarga ustaz datang menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga kami. Hubungan persahabatan di antara keluarga kami tidak terhenti setakat itu. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3, ustazlah yang mengajar saya Pendidikan Islam sehingga saya berjaya mendapat A untuk subjek itu di dalam PMR. Saya tahu bukanlah ustaz yang menyebabkan saya mendapat kejayaan itu. Tetapi kejayaan itu juga takkan dapat diraih tanpa didikan dan doa daripada ustaz.

Masih berbekas lagi di ingatan ketika saya masih menuntut di Tingkatan 2. Abah telah disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan telah ditahan di wad. Siapa lagi yang selalu membantu kami menghantar abah ke hospital jika sakit abah tiba-tiba menyerang kalau bukan ustaz. Sehinggalah suatu waktu ketika saya menuntut di Tingkatan 4. Tiba-tiba sahaja ustaz dan keluarganya berpindah tanpa saya ketahui di mana tempatnya dan sebabnya berpindah. Sejak itu hubungan saya dan Najwa turut terputus. Saya tidak ketahui di mana dia berada apatah lagi nombor telefon untuk dihubungi. Lebih membuatkan saya berasa sedih, apabila suatu malam saya bermimpi bertemu dengan ibu Najwa lantas bertanyakan di mana dia berada kini tetapi jawabnya tak perlu tahu. Sedar-sedar sahaja dari tidur saya terus menangis. Bermula saat itu, saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga saya bisa dipertemukan dengan Najwa sekali lagi untuk meneruskan kesinambungan ukhwah ini.

Ternyata hari ini, Allah kabulkan juga doa saya walaupun setelah hampir sedekad kami terpisah. Dan benarlah sesungguhnya pertemuan yang Allah aturkan ini begitu indah dan sangat bermakna bagi saya walaupun sebentar cuma. Najwa, mengenalinya merupakan satu lagenda indah dalam lembaran hidup saya… J

wwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwwww

Suasana Krismas di beberapa premis perniagaan yang menjual coklat dan minuman keras bebas cukai di bangunan terminal ini kelihatan agak hidup dengan pokok Krismas dan kerlipan lampu yang berwarna-warni. Namun itu semua langsung tidak menarik perhatian saya. Apa yang membuat saya lebih asyik apabila melihat rintik-rintik kasar hujan melalui cermin kaca bangunan terminal ini yang bagaikan salju menuruni bumi Eropah. Tanpa disedari, waktu sudah menunjukkan pukul 7.20 petang. Suasana di luar yang masih hujan kian gelap. Pengumuman dari kakitangan Air Asia yang sejak tadi kami tunggu-tunggu tidak kunjung tiba. Kalau ada pun, pengumuman untuk ketibaan atau perlepasan penerbangan lain. Waktu yang tersisa ini saya gunakan untuk melayari internet sementelah pula kawasan ini merupakan wi-fi hot spot. Lagipun, bosan yang teramat apabila terpaksa duduk lama sambil menjadi pemerhati gelagat manusia sekeliling. Sedar-sedar saja, bateri laptop sudah mencapai di tahap kritikal lantas memaksa saya menutupnya.

Maassalamah ya Jauhariyyy....

Tepat jam 7.45 petang, pengumuman yang ditunggu-tunggu akhirnya dibuat juga. Para penumpang yang sedari tadi menanti dengan penuh sabar segera mengangkat punggung sebelum sempat pengumuman itu habis dibuat lagi. Barisan yang beratur panjang menuju ke Gate A membuatkan saya berdiri dengan agak lama, tambahan pula kedudukan saya yang agak jauh di belakang. Sepanjang menunggu tadi 2 kali abah menghubungi saya, bertanyakan keadaan saya. Siap suruh saya bertanya dengan staff Air Asia yang bertugas di kaunter bila penerbangan akan berlepas. Saya cuma menjawab yang pengumuman akan dibuat apabila segala masalah teknikal dapat diatasi. Pukul berapa akan berlepas, bukannya boleh dijawab oleh staff yang bertugas kerana itu bukan suatu perkara yang dapat dijangka. Hurmm.. Bukan sekali ini saya mengalami situasi sebegini. Sebelum ini pun pernah juga, cuma bezanya kali ini lebih lama dan berlaku di waktu malam. Nampaknya, sebelum berlepas ini pun saya harus maklumkan kepada abah lagi. Sekurang-kurangnya apabila dia tahu yang saya akan berlepas, dapat juga dia bajet masa penerbangan saya akan tiba.

Alhamdulillah, akhirnya kami semua selamat berada di dalam perut pesawat dan sudah bersedia untuk berlepas. Selamat tinggal Johorku… Bersama lafaz doa dan gegaran roda pesawat yang bergeser dengan lantai landasan saya lontarkan pandangan sayu ke luar tingkap pesawat. Johor yang kian mengecil terang benderang dari udara dengan kilauan lampu neonnya yang bertebaran di segenap tempat. Lampu di dalam pesawat mula dipadamkan dan mata saya sudah mulai kelat. Biarpun agak letih dan mata mengantuk, namun saya tidak berupaya melelapkan mata. Berusaha juga untuk melelapkan mata dengan membaca majalah Air Asia yang saya capai dari saku seat yang berhadapan dengan harapan agar saya lebih segar setelah terjaga nanti.

Dapat juga saya lelapkan mata walau sekadar tidur-tidur ayam. Saya hanya terjaga apabila terasa gegaran pesawat yang melanggar segumpalan awan tebal barangkali. Serentak dengan itu kedengaran pengumuman juruterbang yang memaklumkan bahawa pesawat kini berada pada ketinggian 30,000 kaki dari aras laut dan dijangka akan mendarat 45 minit lagi. Cuak juga. Bermacam-macam perkara boleh terjadi. Apa yang saya harapkan kini cuma satu. Cuma bergantung harap pada Allah. Kalau mati pun, biarlah jasad saya tidak hancur sepenuhnya. Saya menoleh ke tingkap di sebelah kiri. Gelap pekat melatari suasana langit. Segarit cahaya pun tidak kelihatan lagi. Bagaikan terakam di layar ingatan, kejadian kira-kira 20 tahun lampau menerjah kembali. Ketika itu saya bersama keluarga di dalam penerbangan malam MAS dari JB ke Kch ke Bintulu. Sewaktu di dalam penerbangan menuju ke Bintulu, cuaca yang ketika itu agak menakutkan telah memaksa juruterbang membuat pendaratan cemas di Sibu.

Masih teringat lagi suasana yang agak mendebarkan ketika pesawat bergegar dengan sangat kuat dan kanak-kanak kecil pula sudah menangis ketakutan. Para anak kapal juga sedang sibuk menenangkan para penumpang yang sudah cemas. Saya yang ketika itu masih berusia 4 tahun sudah mengerti rasa takut namun saya mendiamkan diri sambil memeluk erat arwah ibu saudara saya. Alhamdulillah, berkat bantuan dari Allah yang disalurkan melalui kepakaran juruterbang, pesawat kami ketika itu berjaya mendarat dengan selamatnya walau agak terlewat dari masa yang dijangkakan.

Saya kira para penumpang baru sahaja selesai menikmati juadah berdasarkan pengamatan saya kerana para pramugari sedang sibuk mengheret plastic hitam besar untuk para penumpang membuang segala sisa-sisa makanan ke dalamnya. Jika di dalam penerbangan MAS, pemandangan seperti ini tidak akan kelihatan. Nyenyak juga saya lelap sebentar tadi sehinggakan tidak menyedari bila masanya anak kapal AirAsia menjual makanan di dalam pesawat itu. Pakcik yang duduk di sebelah saya pun tidak mengejutkan saya bertanyakan sama ada saya ingin membeli makanan atau tidak. Hurmm.. kalau saya sedar pun, tak tergerak langsung hati saya hendak membeli selagi perut tidak terdesak kebulur.

Sedang saya leka mengelamun, pengumuman dari juruterbang berkumandang lagi menerjah pendengaran. Kali ini juruterbang memaklumkan tentang cuaca yang semakin baik dan pesawat yang akan dijangka mendarat dalam masa 10 minit lagi. Ya Allah, tak sedar masa berlalu begitu pantas. Saya kerling ke arah jam tangan. Pesawat dijangka akan mendarat pada jam 9.15 malam ini. Kini, sayup-sayup kelihatan Bumi Kenyalang dari atmosfera malamnya bergemerlapan disimbahi cahaya lampu neon. Kecut abdomen saya tatkala roda pesawat bergegar mencecah lantai landasan bergerak laju menuju terminal yang ditetapkan. Kala ini sudah terbayang di tubir mata imej wajah mama, abah dan adik-adik yang kepenatan menanti ketibaan saya.

Alhamdulillah....~~

Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang mengecap nikmatNya sebaik kaki menginjak lantai terminal menuju ke balai ketibaan untuk pemeriksaaan imigresen. Kesesakan penumpang yang berduyun-duyun menuju ke balai ketibaan berjaya saya redah dengan mudahnya. Untung juga saya tidak membawa banyak barang, jadi ia membantu mempercepatkan langkah saya. Tiba di kaunter imigresen. Seperti biasa, pegawai bertugas di kaunter imigresen meminta saya agar membuka niqab untuk memastikan saya adalah orang yang sama seperti gambar di kad pengenalan. Ya, di sinilah saya membuka sepenuhnya niqab saya supaya apabila tiba di balai ketibaan yang terletak di bawah, saya tidak terlalu kalut untuk membukanya. Langkah saya percepatkan menuruni escalator yang bergerak menuju ke tingkat bawah. Tersasul juga kaki ini hendak melangkah ke dewan tuntutan bagasi namun segera berpaling apabila teringatkan yang saya tidak mempunyai sebarang bagasi.

Di luar balai ketibaan, sanak saudara dan keluarga para penumpang penerbangan AK sedang menanti dengan pelbagai riak wajah. Sempat juga saya menjengah ke depan dan ke belakang, mencari-cari kelibat Najwa untuk mengucapkan selamat tinggal namun tidak kelihatan. Sepasang mata saya meliar lagi sambil kaki melangkah tanpa hala tuju. Wajah-wajah kesayangan saya belum kelihatan. Di suatu sudut di sebelah kiri saya, kelihatan mama, abah dan Amirul berdiri di celah-celah orang ramai sambil melambai-lambai tangan ke arah saya dengan senyum yang tidak putus. Saya segera meluru ke arah mereka. Mama dan abah terus mendakap saya sambil mengucup kedua belah pipi saya sebaik saya mencium tangan mereka. Lagak mereka bagaikan saya baru kembali dari luar negara setelah bertahun tidak balik.

Malam itu, kami balik ke Serian dengan dijemput oleh Pakcik Jamali dan abangnya. Dua kereta telah menunggu kedatangan kami. Sempat juga saya melayarkan pandangan saya ke persekitaran mencari-cari kelibat Najwa buat kali terakhir sebelum memasuki Kancil putih itu. Kelibatnya langsung tidak kelihatan. Namun rasa terkilan terubat juga kerana kami sempat bertukar nombor telefon semasa berbual bersama. Perjalanan dari LTAK ke rumah memakan masa 1 jam setengah. Sepatutnya lebih cepat dari itu tetapi memandangkan pakcik seorang ni boleh pulak tersesat jalan memasuki simpang ke Kota Sentosa. Nasib baiklah kami menyedarinya, kalau tidak entah ke mana-manalah kami dibawanya malam itu. Biasalah tu, mungkin penglihatannya kurang baik tambahan pula waktu malam.

Setibanya di rumah, jam sudah menunjukkan pukul 11.15 malam. Sesudah membayar sewa kereta, kedua-dua pakcik itu pun pulang. Tinggal kami lagi yang sibuk memunggah beg-beg pakaian naik ke atas rumah. Suasana begitu sepi. Hanya rumah kami sahaja berpenghuni. Jiran-jiran lain masih belum kembali dari bercuti. Dari samar-samar cahaya lampu jalan, kami melihat seekor kucing putih bertompok kelabu yang seakan kami kenal rupanya. Tanpa disangka-sangka, Amnah dengan tindakan nekadnya pergi mendekati kucing itu yang sedang bersantai di atas jalan raya, kira-kira 2 buah rumah dari rumah kami. Saya menuruti Amnah dari belakang sekadar untuk mengawasinya malam-malam begini.

Kalau Amnah tidak yakinkan saya yang kucing itu Onew, hampir-hampir saja saya tidak mengenali itu kucing kami. Terus kami membawanya ke rumah walaupun pada mulanya ia meronta-ronta. Mungkin sudah lama tidak mencium bau kami. Tidak lama kemudian, Ayu, Abon dan June datang menyusul. Kesemua mereka berada di dalam keadaan yang amat menyedihkan. Kurus dan cengkung. Pastinya tidak tentu makan. Tapi yang menjadi persoalannya, di manakah Adeq? Adeq saja yang belum balik. Ya Allah… Peliharalah Adeqku dalam lindunganMu… L

Dek kerana terlalu penat, kami lena tanpa sempat mandi dan cuma menukar pakaian. Saat merebahkan tubuh di atas tilam empuk, baru terasa penatnya yang melenguhkan segenap sendi. Namun terasa terbang segala lelah kala lampu dipadamkan dan bermula satu kembara mimpi di malam yang cukup indah…

::Hayya|Nadrusu|Lughatul|Jannah::

Jom Imarahkan Masjid!

Tebarkan Salam ke Serata Alam

salam

Sunday, February 28, 2010

No comments:

Sahabat QQ